Kos sara hidup rakyat, inflasi perkara pertama dibincang PN

- Advertisement -

SHAH ALAM: Isu kos sara hidup rakyat disebabkan inflasi dan kenaikan harga barang akan menjadi perkara pertama yang dibincangkan PERIKATAN NASIONAL jika dipilih menjadi kerajaan pada 19 November ini.

- Advertisement -

Presiden PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Pertama jika diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tahu kenaikan harga barang ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk gangguan bekalan dan kos bahan import yang tinggi. Jika bekalan tak mencukupi atau kos import meningkat, maka harga akan naik.

“Jadi, untuk mengatasi isu kenaikan harga barang, kerajaan mesti melihat isu gangguan bekalan dan kos import dengan lebih serius.

“Terutama sekali dalam keadaan nilai ringgit yang jatuh menjunam berbanding matawang utama dunia yang lain, terumanya dollar Amerika Syarikat,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Manifiesto Tawaran PERIKATAN NASIONAL Best, di Hotel Glenmarie, di sini, malam ini.

Menurut Muhyiddin, isu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan produktiviti dan mengganggu rantaian bekalan juga mesti diselesaikan segera.

Katanya, sebelum ini beliau bertemu kumpulan kontraktor kecil Bumiputera yang datang mengadu masalah kekurangan tenaga kerja.

Mereka mengadu tidak boleh mengambil kontrak baharu kerana tiada pekerja dan jika ada kosnya mahal serta tidak mampu dibayar.

Akhirnya mereka kehilangan kerja-kerja kontrak yang sepatutnya mereka boleh buat dan ini menjejaskan pendapatan mereka, katanya.

“Jika kita berjaya membentuk kerajaan pada 19 November nanti, kita akan ambil tindakan segera untuk selesaikan isu-isu yang menjejaskan pendapatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2022

- Advertisement -