
BACHOK: Bekas ahli Parlimen Bachok dan Jeli mengiringi calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.
Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz mengiringi Syahir Che Sulaiman yang bertanding di Bachok dan Dato’ Seri Mustapa Mohamed bersama Zahari Kechik di Jeli.
Hadir sama bersama Nik Abduh ialah Yang Dipertua PAS Bachok Dato’ Hassan Mohamood, Adun Jelawat Abdul Azziz Kadir dan Adun Pantai Irama Huzaimy Che Husin.
Lebih 1,000 penyokong PAS hadir mengiringi calon PN Parlimen Bachok ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok.
Parlimen Bachok melibatkan pertandingan lima penjuru iaitu Syahir (PN), Mohd Zain Yassim (BN), Kamarul Azam Osman (Putra), Nor Azmiza Mamat (PH) dan Mohd Zulkifli Zakaria (Bebas).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azi Rahimee Mohamed mengumumkan tiada pencalonan yang ditolak. Ia bermakna lima calon terbabit layak bertanding.
Pada sesi undian bagi kedudukan nama di kertas borang undi kedudukan nombor 1 calon PAS, diikuti PH (2), Bebas (3)), Putra (4) dan BN (5).

Sebelum itu, calon PAS dan penyokong menyempurnakan solat hajat di Masjid Tok Ayah Zain mendoakan kemenangan berpihak kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Manakala di JELI, kira-kira 3,000 hadir mengiringi calon PN, Zahari Kechik termasuk Mustapa yang mesra dengan panggilan Tok Pa), Yang Dipertua PAS Jeli Mohd Apandi Mohamad dan timbalannya Dato’ Abdullah Ya’kub.
Manakala calon Barisan Nasional Norwahida Patuan diiring kira-kira 300 penyokong, PH Md Radzi Wahab pula sekitar 30 orang dan Putra Prof. Ir. Dr Muhammad Daud tiga orang. – HARAKAHDAILY 5/11/2022




















