
JASIN: Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) Tuan Guru Zulkifli Ismail, 56, ditentang tiga lagi calon dalam persaingan empat penjuru di kerusi parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Beliau sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) ditentang calon Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad, Dato’ Harun Mohammed (Pakatan Harapan) dan Mohd Daud Nasir (Pejuang).
Calon-calon terbabit disahkan bertanding selepas diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan berkenaan Rahizi Ranom pada jam 11.12 pagi.
Pencalonan Tuan Guru Zulkifli yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka dicadang Fauzi Maelah dan disokong Suhaimi Harun.
Pada PRU14 yang berlangsung pada tahun 2018 kerusi tersebut dimenangi Dato’ Seri Ahmad Hamzah dari BN dengan majoriti tipis sebanyak 219 undi.
Hamzah ketika itu mendapat 26,560 undi mengalahkan calon PKR (PH), Khairuddin Abu Hassan yang mendapat 26,341 undi, manakala calon PAS, Abdul Alim Shapie mendapat 8,860 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditetapkan waktu berkempen selama 14 hari bermula hari ini selepas selesai penamaan calon.
Manakala hari pengundian ditetapkan pada 19 November dan mengundi awal pula 15 November. – HARAKAHDAILY 5/11/2022




















