Sokong PN demi elak ‘perasuah’ tadbir negara

Rafaie Mustapha
- Advertisement -

PORT DICKSON: Pengundi di Parlimen P132 diharapkan dapat melakar perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini dengan menolak calon yang mendapat mandat ‘kluster mahkamah’ dalam usaha mengelak negara ini ditadbir oleh ‘perasuah’.

- Advertisement -

Selain itu, mereka juga diminta tidak mengizinkan calon dari gabungan parti yang dikuasai parti cauvanis berikutan isu-isu keselamatan, anti-Melayu dan anti-Islam yang amat membimbangkan berlaku semasa 22 bulan Pakatan Harapan menerajui negara sebelum ini.

“Kita perlu memastikan mereka yang terpalit rasuah ini tidak lagi menerajui negara kerana kesan kepada amalan rasuah yang membarah ini merosakkan negara,” kata calon PERIKATAN NASIONAL P132, Parlimen Port Dickson daripada PAS, Rafaie Mustapha kepada Harakahdaily dalam sesi wawancara bersamanya di Markas Induk PERIKATAN NASIONAL Parlimen Port Dickson di sini sebentar tadi.

Untuk itu kata bekas pengetua sebuah sekolah berasrama penuh (aliran Sains) itu, pengundi perlu memberi kepercayaan kepada calon PERIKATAN NASIONAL untuk menerajui Parlimen Port Dickson selepas penyandang kawasan ini iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim ‘meninggalkan’ kawasan ini tanpa ada apa-apa pembangunan mahupun agenda yang dilaksana demi kebaikan masyarakat di sini.

Katanya, di satu pihak sarat dengan rasuah dan di satu pihak pula lebih dikuasai kumpulan pro cauvanis.

“Kita tawarkan calon yang bersih, yang terbukti berintegriti malah diyakini miliki kekuatan pengalaman dalam setiap lapangan kepakaran masing-masing,” ujarnya lagi.

PERIKATAN NASIONAL juga kata Rafaie, menawarkan sebuah kerajaan yang stabil malah prihatin kepada rakyat dalam memastikan survival rakyat diutamakan.

Justeru beliau menyeru seluruh pengundi di Parlimen Port Dickson memberi undi dan kepercayaan kepada calon PERIKATAN NASIONAL dalam memastikan negara ini selamat dan hak rakyat didahulukan.

Kerusi Parlimen P132, Port Dickson menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Kerusi ini dimenangi Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil, namun kali ini bertanding di Parlimen Tambun.

(Wawancara lanjut di Harakah cetak keluaran akan datang.)

- Advertisement -