
MARANG: PAS berusaha untuk memenangi 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, ujar Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Kita usaha sekurang-kurangnya menang 40 kerusi. Ini daripada PAS sahaja,” ujarnya kepada media selepas selesai penamaan calon bagi Parlimen Marang di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Derah Marang di sini, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan, PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) bertanding di 64 Parlimen PAS bertanding, Bersatu (74), Gerakan (20) dan parti-parti lain dalam gabungan itu melebihi daripada 2/3 jumlah kerusi Parlimen.
“Untuk PN keseluruhan sekurang-kurangnya kita dapat majoriti 2/3, campur Bersatu, Gerakan, Sabah dan Sarawak,” ujarnya yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang.
Pada kempen PRU kali ini, beliau akan turun padang ke seluruh negara di samping beberapa kawasan.
Tuan Guru berharap berlaku gelombang di Arau susulan penyandang kerusi parlimen itu bertanding sebagai calon PERIKATAN NASIONAL.
“Kita harap gelombang Arau, gelombang Perlis, kita mahu menawan Perlis selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah,” ujarnya lagi.
Mengenai proses penamaan calon hari ini, katanya ia berlangsung dalam suasana yang baik dan aman.
“Proses (penamaan) baik, aman dan semua yang bertanding itu mesra. Akan bertanding dengan sopan dan beradab. Insya-Allah.
“Penyokong-penyokong kita dapat kawal keadaan dan kita telah beri taklimat awal supaya jangan melakukan apa-apa, tiada ketegangan berlaku,” katanya lagi.
Beliau juga menekankan lagi bahawa bagi PAS turun pada PRU kali ini membawa agenda perpaduan ummah untuk menyatukan orang Islam, Melayu sama ada PERIKATAN NASIONAL, termasuk Barisan Nasional.
“Dalam masa sama penyertaan pelbagai kaum, termasuk kaum lain yang tidak ekstrem. Ini merupakan agenda kita yang mesti diteruskan,” jelasnya.
Pada PRU kali ini, beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Marang ditentang tiga calon iaitu Jasmira Othman daripada BN, Dr Zarawi Sulong (Pejuang) dan Ustaz Azhar (PH).– HARAKAHDAILY 5/11/2022




















