
KUALA LUMPUR: Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah diperkenalkan oleh PAS wajar diamalkan oleh semua parti, calon dan penyokong sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, BPMS ialah sebuah pendekatan yang menganjurkan prinsip dakwah secara berhemah dalam berpolitik, bukan politik yang dipisahkan daripada agama semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
Beliau menegaskan, PAS menolak politik fitnah dan politik jalanan yang menyusahkan rakyat.
PAS juga, ujarnya menolak agenda politik kepartian yang bertujuan hanya menyelamatkan individu tertentu dan bukan untuk menyelamatkan negara serta membela rakyat.
“Ketidakstabilan politik yang melanda negara ini perlu diurus melalui proses demokrasi yang matang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, rakyat mahukan sebuah kerajaan bersih dan stabil yang mampu membawa penyelesaian.
Justeru, katanya PAS mengajak semua pihak yang terlibat secara langsung dalam PRU15 ini untuk menjalani proses demokrasi secara matang dan sejahtera.
“Berkempen dan raihlah undi rakyat secara berhemah kerana rakyat sentiasa melihat dan menilai kita semua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/11/2022




















