Komponen PN bersungguh tawan hati rakyat Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan kesyukuran kerana telah selesai menjelajah dua hari di Kedah dalam gerak kerja memperkukuh jentera parti itu khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

- Advertisement -

Menurutnya, beliau merasai dan menyaksikan sendiri betapa semangat jentera parti dalam menghadapi PRU15, sekali gus menunjukkan komitmen setiap komponen parti PERIKATAN NASIONAL (PN) yang bersungguh-sungguh untuk menawan hati rakyat negeri Jelapang Padi itu. 

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Kedah agar terus memberikan sokongan kepada calon-calon PN demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri ini.

“Mudah-mudahan, Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya melalui kemenangan kepada PERIKATAN NASIONAL untuk semua kerusi Parlimen yang ditandingi kali ini,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Bersempena jelajah itu, beliau berbesar hati mengumumkan kesemua calon PERIKATAN NASIONAL bagi setiap kerusi Parlimen di negeri Kedah semasa Majlis Pengisytiharan Bakal Calon Parlimen PRU15 PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Dengan itu, beliau menyeru seluruh jentera pilihan raya PERIKATAN NASIONAL Negeri Kedah bergerak kerja dengan sepenuh kudrat di kubu dan kawasan masing-masing.

“Insya-Allah, kita akan dikurniakan kemenangan dengan keberkatan daripada Allah dalam PRU15 ini. Siru ‘ala barakatillah,” ujarnya lagi.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu turut beramah mesra bersama para petugas media dan wartawan yang sentiasa komited dalam tugasan yang diamanahkan.

“Mudah-mudahan, Allah SWT terus memberikan kekuatan kepada pihak media untuk melaporkan berita yang tepat dan benar, seterusnya menerima pekerjaan kalian sebagai amal soleh di sisi-Nya,” ujarnya dalam satu hantaran yang lain. – HARAKAHDAILY 3/11/2022

- Advertisement -