
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
ARAU: PAS bakal bertanding lebih 60 kerusi Parlimen di seluruh negara dengan sasaran 40 kerusi akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata pemilihan calon juga telah selesai dan terserah kepada negeri untuk meletakkan mereka di kawasan mana.
“Calon telah ditentukan, terserah kepada negeri masing-masing untuk mengisytiharkan calon. Saya difahamkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan umum di Kuala Lumpur.
“Negeri Kedah, Kelantan akan isytihar pada 2 November, Terengganu 3 November dan juga negeri-negeri lain,” katanya pada sidang media selepas Ceramah PRU15 di Bilik Gerakan Utama PN negeri di sini, semalam.
Beliau berkata, PAS bakal menawan Perlis dan Pahang, selain mengekalkan kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Kita akan usahakan memenangi lebih 40 kerusi, kalau boleh lebih lagi berdasarkan bedah siasat Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, kita dapati mereka mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU lepas sudah berundur dan mereka tidak mengundi Barisan Nasional (BN).
“Sebahagiannya mengundi kita, sebahagian tidak keluar mengundi, mungkin kerana protes di Johor dan Melaka, kita harap kali ini mereka keluar mengundi dan undi kita meningkat, insyaAllah.
“Seboleh-bolehnya kita mahu majoriti besar di Semenanjung Malaysia, insyaAllah Kelantan, Terengganu, Kedah termasuk Perlis dan Pahang,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, beliau tetap menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.
“Ada pandangan beliau yang bernas dan ada juga yang kita tidak terima, kita tidak bergantung dengan beliau, namun kita tetap mengenang jasa beliau,” katanya.
Namun, katanya sehingga kini tiada keputusan untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir. – HARAKAHDAILY 1/11/22




















