Mengejar undi Melayu, DAP kuis Amanah

- Advertisement -

Peribahasa `rumah siap pahat berbunyi’ cukup biasa digunakan untuk merujuk kepada pelbagai perkara yang masih menjadi pertikaian selepas sesuatu penyelesaian dibuat.

- Advertisement -

Dalam dunia politik, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri, ribut tiba-tiba melanda Amanah, parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Bukan mengejutkan, malah sudah dijangka kerana perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah pemimpin Amanah hanya menanti masa untuk meledak.

Malangnya, ia berlaku pada waktu yang amat tidak sesuai, iaitu menjelang hari penamaan calon pada 5 November diikuti tempoh berkempen yang agak singkat sebelum pengundian pada 19 November.

Bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, yang disingkirkan partinya, menjadi tumpuan perhatian kerana membangkitkan isu yang beliau rasa tepat untuk partinya ketika itu.

Baginya, keputusan PH meletakkan calon Melayu DAP di Parlimen Jerai bukan hanya membabitkan Parlimen itu, malah menimbulkan sentimen dan persepsi tidak baik kepada pengundi di seluruh negara.

Beliau mendakwa konflik di Kedah berpunca apabila pimpinan partinya memutuskan melakukan pertukaran kerusi bersama DAP, iaitu menyerahkan Parlimen Jerai kepada DAP, manakala Parlimen Alor Gajah diserahkan kepada Amanah.

Namun, katanya pertukaran itu tidak pernah dibincangkan pada peringkat negeri dan hanya diketahui pada awal bulan ini.

“Mengikut rundingan awal antara Amanah dan PKR di Kedah, PKR akan bertanding sembilan kerusi dan baki enam kerusi akan ditandingi Amanah.

“Bagaimanapun, tiba-tiba DAP menuntut Baling dan Jerai, namun Amanah dan PKR berpendirian bahawa belum tiba masanya DAP melebarkan sayap ke kawasan luar bandar majoriti Melayu,” katanya.

Phahrolrazi berkata, calon DAP akan berdepan kesukaran bertanding di Jerai kerana sejak sekian lama, Amanah berdepan masalah apabila dituduh menjadi kuda tunggangan dan barua kepada DAP.

Antara strategi DAP di bawah kepimpinan baharu Setiausaha Agung, Loke Siew Fook, ialah untuk menonjolkan DAP sebagai parti yang mempunyai pemimpin pelbagai kaum.

Ini dilakukan dengan bukan sahaja meletakkan calon Melayu bertanding mewakili parti itu dalam PRU15, malah lebih drastik ialah meletakkan mereka di kawasan majoriti Melayu seperti di Parlimen Jerai (Kedah), Mersing (Johor) dan Gerik (Perak)

Jika tidak kerana konflik di Kedah, tidak ramai akan tahu bahawa dasar DAP yang bertujuan memecah penguasaan PAS dan Umno di kawasan majoriti Melayu luar bandar, sebenarnya turut menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan parti komponen PH sendiri.

Bukan rahsia bahawa DAP juga bersaing dengan PKR di kawasan pengundi campuran dan kini memasuki kawasan yang sepatutnya Amanah wakili. Ini sekali gus menimbulkan persoalan terhadap masa depan Amanah dalam PH jika dasar DAP sekarang berterusan.

Berdasarkan pencapaian Amanah dalam PRU14 yang hanya memperolehi 11 kerusi Parlimen, berbanding PKR (47) dan DAP (42), kedudukan parti itu agak lemah dalam perundingan jumlah kerusi yang ditandingi dalam PRU15.

Dalam kes di Kedah, Phahrolrazi berkata berdasarkan rundingan awal, DAP hanya diperuntuk dua kerusi DUN iaitu di Derga dan Kota Darulaman.

Namun, beliau mendakwa DAP terus membuat tuntutan kerusi Parlimen apabila mengatakan mereka mempunyai pemimpin Melayu sehingga berlaku rundingan pada peringkat pucuk pimpinan PH.

Konflik di Kedah tidak akan berlaku jika DAP tidak melaksanakan dasar baharu itu kerana akan menimbulkan persaingan dengan Amanah di kawasan majoriti Melayu.

Realitinya, pertembungan antara DAP dan Amanah juga berlaku di negeri lain seperti di Perak, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong apabila kedua-dua parti menamakan calon untuk bertanding di kerusi itu pada 28 Oktober lalu.

Amanah mengumumkan Dr Muhaimin Sulam sebagai calon pada waktu pagi dan pada sebelah malam pula, DAP mengumumkan Badrul Hisham Badarudin, sebagai calon.

Walaupun Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian mengumumkan bahawa hasil perbincangan antara pimpinan tertinggi parti telah dibuat dan bersetuju untuk menyerahkan kerusi itu kepada DAP dan bukan Amanah, tetapi ini cukup menggambarkan pertentangan antara dua parti komponen dalam PH.

Perasaan tidak puas hati di kalangan ahli dan pemimpin Amanah negeri juga dapat dilihat di Johor apabila Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Johor, Mazlan Aliman berkata, sebelum ini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Ayer Hitam turut diberikan kepada Muda dan DAP.

Dalam parti komponen PH, Mazlan berkata kepimpinan Amanah dilihat lemah menangani rundingan kerusi yang menimbulkan rasa tidak puas hati ahli dan penyokong parti.

Bagi pemimpin utama PH, ribut ini mungkin dianggap kecil, tetapi kadang-kadang ribut boleh bertukar menjadi taufan. – HARAKAHDAILY 1/11/22

- Advertisement -