
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: PAS berpotensi meningkatkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan momentum penerimaan masyarakat terhadap gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, PAS akan mempertahankan kerusi tradisi di Dun Sanglang dan Guar Sanji yang merupakan kubu kuat PAS.
“PAS menawan Sanglang pada PRU-10 (1999) yang diwakili Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dengan majoriti 333 undi mengalahkan calon Umno, Karim Salleh.
“Pada PRU-15 PAS bakal mengekalkan calon yang sama di kubu kuat dengan ditambah muka baru, muda dan segar di DUN dan Parlimen lain,” katanya di sini.
Begitu juga di Guar Sanji, PAS pernah memenangi DUN tersebut pada PRU-10 yang diwakili Tuan Guru Ahmad Ali dengan majoriti 603 undi.
Kemudian PAS sekali lagi menawan DUN Guar Sanji pada PRU lepas dengan mempertaruh melalui Mohd Ridzuan Hashim. Beliau memenangi DUN tersebut dengan majoriti 328 undi menentang Afifi Osman dari BN dan Baridah Che Nayan (Pakatan Harapan – PH).
Mohd Shukri selaku Pengerusi PN berkata, gabungan itu menyasarkan menang lapan hingga sembilan kerusi DUN untuk membolehkan membentuk kerajaan negeri di Perlis.
“Kita yakin menang antaranya di kerusi Simpang Empat, Santan, Kayang, Bintong, Sena selain mengekalkan Guar Sanji dan Sanglang,” ujarnya.
PAS akan bertanding di dua Parlimen iaitu Arau dan Padang Besar manakala DUN pula melibatkan Simpang Empat, Santan, Mata Ayer, Sena, Chuping, Beseri, Bintong serta kekal di DUN Guar Sanji dan Sanglang.
Sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Arau 1998 Ustaz Hashim memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,323 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Kassim.
Dalam PRU-11 (2004) beliau sekali lagi kekal memenangi kerusi DUN Sanglang dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Dato’ Mastika Junaidah Husin.
Dalam PRU-12 (2008), Hashim Jasin juga kekal memenangi DUN Sanglang selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan DUN Sanglang dimenanginya dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac 2008 dibatalkan. – HARAKAHDAILY 31/10/2022




















