
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR
TUMPAT: Sebaik sahaja pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri 10 Oktober lalu, jentera pilihan raya PAS peringkat Parlimen di Kelantan memulakan gerak kerja pilihan raya.
Biarpun pada peringkat awal ia tidak begitu aktif, namun beberapa jentera di peringkat Parlimen termasuk Tumpat sudah mengatur gerak kerja.
Tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati Parlimen Tumpat antara yang aktif dengan gerak kerja memasang bendera, menyiapkan bilik gerakan dan pos bagi memeriahkan suasana kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tumpat, iaitu Kelaboran, Pasir Pekan, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor kini meriah dengan bendera bulan purnama.
Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, pihaknya bersama team anak muda terbabit dengan program gerak gempur pasang bendera di DUN berkenaan.
Katanya, kerja gotong-royong membersih tempat untuk dijadikan pos dan menaikkan bendera PAS di DUN berkenaan kini berjalan rancak.
“Sekarang kita mengagihkan bendera dan dalam proses membuka pos yang sedang giat dijalankan. Kita menghadapi PRU dengan penuh semangat untuk mengekalkan Parlimen Tumpat,” katanya ketika ditemui.
Beliau memberitahu, bilik gerakan di 14 Unit Daerah Mengundi (UDM) telah dibuka bagi membantu memenangkan calon yang bakal bertanding.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS DUN Kelaboran, Wan Mohd Sufian Wan Mohd Yusof, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab mengaktifkan semua UDM di DUN berkenaan.
“Sebelum ini kami diberi taklimat oleh ADUN Kelaboran Adanan Hassan supaya mempertahankan kemenangan calon Parlimen yang juga menjadi antara kubu kuat PAS di Kelantan,” ujarnya.
Beliau yakin kerjasama semua pihak, insyaAllah calon PAS yang bakal bertanding nanti akan diberi kemenangan.
“Kami sedia menerima sesiapa sahaja calon dan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan untuk mencalonkan siapa yang difikirkan layak mewakili Parlimen Tumpat,” ujarnya.
Setiausaha Jentera PRU Pasir Pekan, Muhammad Yusof, memberitahu bilik operasi bagi menghadapi PRU15 telah bermula sebaik sahaja pengumuman pembubaran Parlimen. – HARAKAHDAILY 30/10/2022











