PN: PAS Pahang yakin menang lebih banyak kerusi

Ustaz rosli
Dato' Rosli Abdul Jabar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Pahang menegaskan gabungan parti itu di dalam PERIKATAN NASIONAL bersama Bersatu dan Gerakan akan bekerja keras untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, PAS telah memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negri (DUN) pada PRU yang lalu ketika bertanding secara solo dan kalah tipis di beberapa kerusi lain.

“Insya-Allah kali ini PAS masuk PRU secara gabungan bersama Bersatu dan Gerakan.

“Dengan sokongan baru dari parti gabungan ini kita yakin PERIKATAN NASIONAL akan mendapat pertambahan kerusi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan demikian berikutan kenyataan Pengerusi Umno negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa Umno akan memastikan PAS tidak memenangi walau satu kerusi pun di Pahang pada PRU15.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menyaksikan undi BN tidak bertambah, namun peningkatan dan penambahan undi begitu mendadak kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Jika trend ini berlaku di Pahang, insya-Allah PERIKATAN NASIONAL akan memenangi lebih banyak kerusi yang memungkinkan PERIKATAN NASIONAL dapat memerintah negeri Pahang.

“Culaan kita sehingga kini mendapati PERIKATAN NASIONAL hampir menguasai 17 kerus. Insya-Allah dengan kerja keras PERIKATAN NASIONAL jumlah ini akan bertambah menjelang PRU.

“Jentera kita yang telah turun bertemu para pengundi mendapati bahawa gelombang untuk menolak BN dan memilih PERIKATAN NASIONAL begitu besar,” katanya lagi.

Apatah lagi, ujarnya rakyat telah melihat kecemerlangan gabungan PERIKATAN NASIONAL ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri terutama kegigihan beliau menangani wabak Covid-19.

Di samping itu, katanya rakyat juga melihat kebijaksanaan serta keprihatinan Muhyiddin dalam membantu peneroka Felda.

Tambahnya, begitu juga dengan peranan menteri sama ada daripada Bersatu dan PAS yang begitu cemerlang dalam melaksanakan amanah dan berintegriti.

“Dalam suasana pimpinan BN masih lagi dihantui dengan isu-isu integriti seperti rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain, kita yakin rakyat dapat menilai dan akan memilih parti yang lebih berintegriti demi masa depan mereka dan negara serta negeri Pahang,” katanya lagi.

PAS juga, ujarnya mengemukakan calon-calon yang berkebolehan untuk menang, selain daripada lapan bekas Adun yang lalu yang telah berpengalaman dalam pentadbiran.

Tambahnya, PAS juga mengemukakan calon-calon berwibawa daripada pelbagai latar belakang pendidikan sebagai persiapan untuk memimpin negeri.

“Di samping itu Bersatu dan Gerakan sebagai rakan gabungan PERIKATAN NASIONAL juga mengemukan calon-calon hebat mereka yang juga dijangka memenangi beberapa kerusi DUN.

“Insya-Allah PERIKATAN NASIONAL bekerja keras dan kami melangkah masuk pilihan raya untuk menang,” tegasnya selaku penyandung kerusi DUN Tanjung Lumpur.

PH pula, ujarnya hanya mempunyai sokongan kuat di kerusi-kerusi pengundi bukan Melayu, namun purata senario itu tidak menyeluruh, hanya tempat-tempat tertentu sahaja. – HARAKAHDAILY 28/10/2022

- Advertisement -