
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Memandangkan kedudukan Kelantan bersempadan dengan Thailand ia terdedah kepada pelbagai kegiatan penyeludupan.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sempadan Kelantan terdedah isu keselamatan berkaitan penyeludupan barangan, manusia, hidupan liar dan pendatang tanpa izin.
Selain itu katanya pencerobohan nelayan asing, isu kawalan sempadan dan penagihan dadah.
“Kerajaan Kelantan berharap isu keselematan dapat ditangani dengan sebaiknya oleh Kerajaan Persekutuan memandangkan negeri ini bersempadan dengan negara jiran.
“Bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan negeri akan memberi kerjasama demi memastikan keselamatan negeri dan negara dipertahan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kita Demi Negara – Zon Timur di Dataran Lembah Sireh di sini semalam.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Ahmad juga berkata, kedudukan Kelantan di bahagian Timur Laut Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Thailand begitu terdedah kepada pelbagai ancaman dan cabaran keselamatan.
Bagaimanapun beliau melahirkan rasa kagum kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Dunia dan Indeks Bandar Selamat.
Katanya, ia menunjukkan bahawa Kementerian Dalam Negeri amat komited dalam melaksanakan tanggungjawab sehingga dapat meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat dunia. – HARAKAHDAILY 28/10/2022











