
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
Syahredzan Johan di Parlimen Bangi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Lipis, Sheikh Umar Bagharib Ali di Ayer Hitam, manakala Young Syefura Othman dipertaruhkan di Bentong.
Empat nama ini sah menjadi antara pemimpin Melayu yang akan dipertaruhkan oleh DAP untuk mewakili parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Senarai nama itu dijangka bertambah sedikit lagi, sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana parti itu mengumumkan nama calon yang bertanding secara berperingkat.
Penampilan lebih ramai wajah Melayu adalah antara strategi DAP untuk memperlihatkan kepada masyarakat bahawa parti itu bukan dikuasai kaum Cina, tetapi mewakili pelbagai kaum.
Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, yang buat kali pertama mengetuai parti itu menghadapi PRU15.
Baginya, meletakkan pemimpin Melayu bukan hanya untuk PRU15, tetapi adalah perancangan jangka panjang untuk menonjolkan wajah parti berbilang kaum, sekali gus tidak lagi dilabelkan sebagai anti-Melayu and anti-Islam.
DAP mendapat kerusi tambahan yang sebelum ini ditandingi Bersatu, iaitu Gerik, Tanjung Karang dan Lipis, tiga Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Setakat ini, hanya Tengku Zulpuri Shah sah bertanding di Lipis yang pengundi Melayu mencecah hampir 80 peratus.
Pendekatan menonjolkan nama Melayu bukan baharu kerana sejak ditubuhkan pada 1966, beberapa pemimpin Melayu diberikan tempat dalam parti itu.
Mereka termasuk Mohd Nor Jeffrey sebagai Naib Pengerusi (1967-1970), Daeng Ibrahim Othman sebagai Penolong Setiausaha Agung (1967-1971) dan Naib Pengerusi (1971-1977) dan Ibrahim Singgeh sebagai Penolong Setiausaha Agung (1971-1977).
Dari semasa ke semasa, ada sahaja nama Melayu berada dalam kepimpinan DAP seperti Fadzlan Yahya, Ahmad Ton, Ahmad Nor dan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Namun strategi menonjolkan pemimpin Melayu mewakili DAP dalam PRU15 boleh dipertikaikan jika ahli parti itu sendiri menolak pemimpin Melayu berdasarkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 20 Mac lalu, apabila hanya Young Syefura Othman mendapat tempat.
Nama Melayu lain seperti Zairil Khir Johari, Dr Abdul Aziz Bari, Abdul Aziz Isa Marindo, Azaha Abdul Rani, Mohammad Basar Umar, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Wan Hamidi Hamid, tidak menjadi pilihan perwakilan DAP.
Seperti biasa, DAP melantik Tengku Zulpuri Shah, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Syahredzan menganggotai CEC dengan Tengku Zulpuri Shah turut memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung.
Kegagalan pemimpin Melayu mendapat tempat dalam parti secara merit bertentangan dengan naratif DAP untuk menonjolkan imej berbilang kaum parti itu, apatah lagi untuk menawan hati pengundi Melayu dalam PRU15.
Malah ketika DAP cuba menarik hati orang Melayu, keadaan itu tidak senada dengan tindakan atau ucapan sesetengah pemimpin parti itu seperti Ronnie Liu yang pernah meluahkan kekhuatirannya tentang nasib umat Islam jika mereka dilarang bekerja dalam industri yang terlibat dengan minuman keras.
Menurutnya, walaupun Islam mengharamkan arak, tetapi itu tidak bermakna bahawa umat Islam dilarang melibatkan diri dalam industri arak.
Sebenarnya, terdapat pelbagai isu yang menyebabkan DAP masih dipandang serong oleh masyarakat Melayu yang tidak boleh dipisahkan dengan Islam.
Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata DAP jelas memiliki rekod buruk lagi hina dalam isu-isu membabitkan Islam dan masyarakat Melayu di negara ini.
“Antaranya Perlembagaan DAP sendiri jelas menyebut dalam Perkara 2 Matlamat-matlamat DAP adalah untuk ‘mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal’ ,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu sahaja sudah membuktikan dan membuka pekung dada DAP yang cukup anti kepada Islam dan Melayu.
Katanya, DAP juga tidak pernah menyembunyikan permusuhan mereka terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan.
Sedangkan katanya, RUU 355 hanya sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah.
Pensyarah di Institut Asia Universiti Tasmania, James Chin, berkata DAP tidak pernah berjaya mengikis imej negatifnya dalam kalangan orang Melayu, terutama di luar bandar yang menjadi penentu di 40 peratus daripada 222 kawasan Parlimen.
Bertentangan dengan strategi DAP, katanya parti itu sepatutnya meletakkan lebih ramai calon Melayu di kawasan majoriti Cina atau kubu kuat DAP.
“Tiada gunanya meletakkan calon Melayu di kawasan yang mereka akan berdepan kesukaran dan berkemungkinan kalah,” katanya.
Sama ada usaha menonjolkan pemimpin Melayu DAP berjaya atau tidak, bergantung kepada pilihan pengundi pada 19 November ini. Mereka boleh menilai sama ada parti itu benar-benar ikhlas untuk menjadi parti berbilang kaum atau pemimpin Melayu tidak lebih hanya sebagai kosmetik yang mencantikkan dari segi luaran. – HARAKAHDAILY 28/10/2022




















