
KAPASITI tong sampah sedia ada tidak mampu menampung jumlah sampah yang dibuang. Musim hujan ketika ini memburukkan lagi keadaan.
Perkara ini sudah dalam perhatian pihak SWCorp dan mereka telah dan sedang mengambil langkah-langkah perlu.
Ada tiga tempat yang diadukan kepada pihak saya dan ketiga-tiganya telah dikemukakan kepada pihak SWCorp untuk diberi perhatian.
1. Kg Pelindung Pantai, Beserah.
2. Belakang SMK Beserah, Batu Hitam.
3. Berhampiran Karang Timur, Sg Karang.
SWCorp dalam jawapan mereka kepada pihak saya mengemukakan langkah-langkah yang telah mereka ambil.
Jangka pendek:
1. Menambah kekerapan kutipan sampah kepada dua kali sehari – di waktu pagi dan petang.
Mereka juga mewujudkan pasukan khas untuk mengutip sisa-sisa yang dibuang penduduk di luar tong walaupun tong masih kosong.
Khusus bagi isu di Kg Pelindung Pantai, langkah tambahan yang dibuat adalah
menambak tanah dan membuat saluran longkang tanah bagi mengalirkan air yang bertakung di kawasan tersebut.
2. Memindahkan tapak-tapak tong sampah ke tempat yang bersesuaian. Kriteria utama, tapak baharu tersebut tidak berada di tepi jalan utama.
Langkah ini sedang dibincang dan diatur dengan pihak JPKK. Antara kesulitan yang dihadapi adalah mendapatkan persetujuan penduduk sekitar. Hal ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak JPKK untuk diuruskan.
Jangka panjang:
Memberikan tong individu kepada pemilik rumah, seterusnya membuat kutipan dari rumah ke rumah.
Ia langkah terbaik bagi SWCorp kerana tiada lagi tong awam di sepanjang jalan yang menjadi punca sisa dari luar (sisa tumpang) yang menyebabkan tong penuh dan melimpah serta mencacatkan pemandangan.
Bagaimanapun, ada beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Antaranya berkaitan cukai pintu yang diuruskan oleh pihak MBK.
Menurut SWCorp, kutipan sampah rumah ke rumah hanya dijalankan apabila mendapat serahan daripada pihak MBK.
Ketika ini pihak MBK tidak dapat membuat serahan sekiranya rumah tiada cukai pintu atau cukai taksiran.
Isu ini sedang dalam penilaian pihak MBK dan jika semuanya berjalan lancar, kaedah kutipan dari rumah ke rumah ini akan dilaksanakan.
Saya ucapkan terima kasih kepada pihak SWCorp Kuantan di atas kesungguhan mereka dalam menguruskan sampah-sampah kita.
Pihak saya menyedari komitmen berterusan pihak SWCorp dalam melaksanakan tanggungjawab mereka memelihara kebersihan persekitaran dan meningkatkan kesedaran awam.
Bukan sedikit sampah yang keluar dari rumah kita setiap hari.
Oleh itu, selain mengharapkan mereka melaksanakan tugas mengikut jangkaan yang kita letakkan, kita juga perlu mempunyai kesedaran dan bersama-sama menyumbang kepada penjagaan kebersihan di tempat-tempat kita.
Pimpinan setempat seperti JPKK dan KRT boleh memainkan peranan untuk membantu dan memudahcara dalam perkara ini.
Kebersihan antara tanda keimanan kita kepada Allah. Sama-sama kita tingkatkan keimanan kita dengan saling berganding bahu memelihara kebersihan sekeliling.
ANDANSURA RABU – HARAKAHDAILY 26/10/2022











