
KEBIASAAN pihak kerajaan akan membentangkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada setiap suku tahun bagi terus memaparkan prestasi kerajaan bagi menarik pelabur luar masuk dan memberi satu keyakinan kepada pemain industri dalam negara untuk berpencak menggerakkan ekonomi negara. Terbaru dilaporkan KDNK negara yang dikeluarkan menunjukkan positif pada suku kedua 2022 sebanyak 8.9 peratus.
Namun begitu KDNK negara bukanlah satu kesimpulan terus menunjukkan status ekonomi rakyat. Hal ini kerana penyumbang kepada KDNK negara peratusan utamanya adalah daripada syarikat besar atau multinational company iaitu sebanyak 62 ke 63 peratus.
Sumbangan KDNK daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah sebanyak 37.4 peratus. Bagi tahu 2021, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Uzir Mahidin sendiri menyatakan KDNK PMKS Malaysia meningkat hanya 1 peratus lebih perlahan berbanding KDNK Malaysia yang tumbuh 3.1 peratus. Status semasa ekonomi negara seakan menyukarkan kita bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah disasarkan iaitu 45 peratus KDNK daripada PMKS pada tahun 2025.
Hal ini menunjukkan kejayaan KDNK negara banyak disumbang oleh syarikat besar yang kurang terjejas operasi mereka akibat COVID-19 berbanding PMKS. Berdasarkan keseluruhan syarikat yang ada di Malaysia, syarikat berstatus besar atau MNC hanya mewakili 2 peratus berbanding keseluruhan syarikat di Malaysia, manakala PMKS sebanyak 98.5 peratus termasuk perusahaan mikro, komuniti luar bandar, kumpulan B40 dan pembekal. Berdasarkan statistik ini, ia menunjukkan perkembangan ekonomi dalam negara masih tidak berjaya kerana 98 peratus PMKS ini masih belum pulih.
Kita perlu lihat, daripada segi pecahan PMKS pula, perusahaan mikro mencakupi 78.6 peratus iaitu sebanyak 964,495 firma daripada jumlah keseluruhan PMKS. Disimpulkan syarikat mikro ini adalah syarikat yang mempunyai kurang daripada 5 pekerja dan kebanyakan adalah berdaftar sebagai enterprise. Manakala perusahaan kecil 19.8 peratus (242,540 firma) dan bakinya 1.6 peratus iaitu 19,459 firma adalah bersaiz sederhana. Data yang dikeluarkan oleh SME Corp ini sudah boleh memberi gambaran kepada kita bahawa survival ekonomi negara hanya masih di paras bahaya kerana perwakilan terbesar enjin ekonomi negara tidak stabil.
Bajet 2023 baru-baru ini kerajaan memperuntukkan RM1 bilion geran ‘one-off‘ sebanyak RM1,000 kepada semua PMKS. Pada satu sudut, kelihatan geran ini bagus kerana ianya bersikap adil dan semua PMKS diberi hak yang sama. Namun begitu, ini seakan bersifat ‘broad strokes policy‘ ataupun dasar pukul rata yang tidak berfokus membangunkan ekonomi negara. Sepatutnya kerajaan perlu lebih berfokus dalam membantu PMKS dengan menyelesaikan masalah negara contohnya masalah import barangan makanan, atau masalah pemasaran barangan PMKS ke luar negara, masalah meningkatkan kapasiti kemampuan pengeluaran dan kualiti perkhidmatan atau masalah kebergantungan PMKS kepada bahan mentah luar negara.
Dengan memberi tumpuan kepada sektor ekonomi utama dalam PMKS, kerajaan dapat membangunkan secara berperingkat PMKS, secara terperinci kita dapat lihat 80-83 peratus daripada PMKS adalah daripada sektor perkhidmatan manakala sektor pembinaan pula sebanyak 8 peratus. 5.8 peratus iaitu 71,612 firma sektor pembuatan dan 1.9 peratus iaitu 23,633 firma dalam sektor pertanian dan bakinya pula adalah dalam sektor perlombongan dan pengkuarian.
Malaysia perlu terus membangunkan sektor pembuatan dan pertanian dalam negara kerana dua sektor ini mampu memberi saling kebergantungan dan mengurangkan import negara. Dua sektor ini juga mampu memberi kesan besar kepada KDNK negara, di samping memanfaatkan sumber tanah yang terbiar di dalam negara. Manakala sektor perkhidmatan pula turut perlu difokuskan bagi memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Pun begitu kita perlu lihat taraf pendidikan yang sesuai kepada peluang pekerjaan di sektor perkhidmatan kerana kita tidak mahu graduan kita underemployment.
Selain KDNK, perlu difahami fungsi PMKS amat besar dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Dengan mewakili 98.5 peratus daripada jumlah firma yang ada di Malaysia, PMKS boleh mewujudkan lebih daripada 7 juta peluang pekerjaan iaitu sebanyak 48 ke 50 peratus kepada jumlah pekerjaan di negara ini.
Baru-baru ini kerajaan mensasarkan 8 juta peluang pekerjaan dapat dibina daripada PMKS pada tahun 2022. Berdasarkan data sebelum ini, 78.6 peratus adalah perusahaan mikro iaitu perusahaan yang memiliki kurang daripada 5 orang atau jualan tahunan kurang daripada RM300,000. Maka kita boleh buat telahan majoriti majikan dalam perusahaan mikro membayar gaji pekerjaan mereka sebanyak RM1,500. Jika peluang pekerjaan ini diberi kepada graduan degree ataupun diploma, maka di situ akan menimbulkan krisis underemployment.
Kerajaan perlu memberi fokus membangunkan PMKS supaya jualan mereka mampu menembusi pasaran luar terutamanya rantau ASEAN. Setakat data diperolehi daripada SME Corp, jumlah eksport PMKS adalah sebanyak 17.9 peratus daripada 17.3 peratus pada 2018. Selain pendigitalan yang telah dilakukan, kerajaan perlu juga membantu meningkatkan kapasiti dan kualiti PMKS bagi bersaing dengan pasaran luar.
Program yang telah dijalankan oleh Institut Keusahawan Negara (INSKEN) iaitu menawarkan kursus kepada industri tumpuan selama 4 bulan dengan bimbingan secara langsung oleh industrial Coach boleh diberikan pujian. Namun begitu program itu dilihat lebih bersifat meneruskan survival kepada PMKS bukan memberi satu peluang yang lebih besar kepada PMKS menerobos pasaran luar kebiasaan mereka.
Bank negara pada 11 Mei telah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 1.75 peratus kepada 2 peratus dan 2.25 peratus pada 6 Julai. Daripada keputusan ini, menyebabkan kini 46,000 orang muflis ekoran tidak mampu membayar pinjaman disebabkan pandemik COVID-19 dan peningkatan kos sara hidup. Rata-rata mereka yang muflis ini adalah kerana membuat pinjaman kereta, perumahan atau perniagaan. Pinjaman kenderaan bagi memenuhi keperluan untuk ke tempat kerja, pinjaman perumahan bagi memenuhi kehidupan selepas perkahwinan. Namun atas ketidakmampuan membayar kerana faktor gaji kecil yang ditawarkan atau kehilangan pekerjaan disebabkan COVID-19 membuatkan mereka terus tersepit hutang dan di isytihar muflis.
COVID-19 banyak menjejaskan PMKS, PMKS tidak mampu beroperasi lalu tidak mampu membayar gaji pekerja dan ada yang terpaksa membuang pekerja, dan selepas pulih daripada COVID-19, bagi meneruskan perniagaan mereka perlu modal semula, akibat kurang modal ada yang masih tidak mampu mengambil pekerja dan ada yang masih terpaksa membayar gaji pekerja bawah gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan oleh kerajaan.
Perkara ini tidak pelik kerana dalam laporan ‘Business Pulse Survey‘ yang dikeluarkan pada Februari hingga Mac 2022 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hanya 39 peratus syarikat PMKS di Malaysia yang mempunyai tunai yang boleh bertahan kurang daripada satu bulan manakala 23 peratus menghadapi masalah pembayaran tertunggak.
Bagi menunjukkan bagaimana parah ekonomi rakyat ketika ini, secara umum, 17,599 rakyat Malaysia muflis sejak Januari 2018 hingga Mei 2022. Individual berusia 35 hingga 44 tahun paling banyak muflis dengan 6,681 orang, manakala umur 25 hingga 34 tahun sebanyak 3,171 orang. Paling terkesan adalah daripada kaum Melayu iaitu majoriti kes muflis ini membabitkan kaum Melayu iaitu sebanyak 10,266 kes.
Ini diikuti Cina dengan 4,447 kes, India 1,321 kes dan lain-lain 1,516 kes, manakala 48 kes lagi melibatkan bukan warganegara. Menurut sumber Jabatan Insolvensi Malaysia, purata 16 kes setiap hari dilaporkan bankrap pada tahun 2022. Isu ini akan terus menjadi parah bulan ke bulan jika tumpuan yang sepatutnya diberi oleh pihak kerajaan tidak dilakukan.
Bagi meningkatkan ekonomi negara, pihak kerajaan perlu menumpukan kepada dasar yang mampu menarik pelabur asing dan syarikat MNC luar yang hadir ke Malaysia dan kerajaan juga perlu meningkat keupayaan PMKS dalam terus menjadi pemacu ekonomi tanpa terlalu bergantung kepada bahan mentah luar.
Bagi merealisasikan tujuan ini dasar negara perlu dibina secara holistik dan dasar yang berfokus. Dasar kerajaan juga tidak boleh bertukar dan dilihat berkepentingan. Amalan kartel dan monopoli yang sudah berakar dalam struktur ekosistem ekonomi Malaysia perlu dibunuh oleh kerajaan yang benar-benar serius dalam memajukan negara. Kerajaan perlu dilihat stabil, bersih, matang, kompeten dan memiliki perancangan yang utuh. Dengan ciri-ciri ini dimiliki oleh kerajaan ini pelabur luar berani untuk bertandang dan kebocoran dasar yang dilaksanakan akan menguntungkan pihak PMKS.
MUHAMMAD SYAFIQ HAMID – HARAKAHDAILY 24/10/2022











