
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) Kelantan dijangka mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 3 November ini.
Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Zulkifli Mamat berkata, kesemua calon PN di Kelantan termasuk Bersatu akan menggunakan logo PAS sama di Terengganu dan Kedah pada PRU15.
“Seperti kebiasaan kita memperkenalkan nama calon sebelum hari penamaan calon berlangsung,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bilik Gerakan Media PRU15, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, PAS masih mengekalkan pendekatan sama untuk mendekati pengundi dengan kaedah secara bersemuka dan pelbagai pendekatan lain.
Kata beliau lebih 27,000 jentera akan dikerah turun padang mendekati pengundi sebagai usaha untuk menarik sokongan rakyat terhadap PN di kesemua 14 kawasan parlimen.
Katanya juga Kelantan mempunyai 544 bilik gerakan Unit Daerah Mengundi (UDM) sebagai pusat untuk memantau gerak kerja sepanjang kempen PRU berlangsung.
Zulkifli yang juga bekas Adun Pulai Chondong berkata, jumlah semasa penggundi di Kelantan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya setakat ini 1,415,974 orang. – HARAKAHDAILY 23/10/2022




















