Kerjasama PN-BN boleh elak tiga penjuru

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerjasama antara parti Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dianggap tidak menggugatkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak melihat kerjasama kedua-dua parti itu memberi satu kesan yang besar memandangkan PH dan GTA bukan daripada parti dominan.

- Advertisement -

“Sebagaimana kita menyebut dalam politik dia ada exercise sama ada parti politik menubuh gabungan dan dalam masa yang sama ada juga kerjasama politik dan ia bukan gabungan.

“Jadi, understanding, persefahaman antara gabungan parti-parti itu ada. Justeru sebarang kerjasama terserah kepada mereka (GTA dan PH),” katanya kepada pemberita selepas melawat legenda bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustafa di Kampung Cherang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sekiranya ada kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU15, sudah tentu situasi berkenaan dapat mengelak berlaku pertembungan tiga penjuru.

Malah, katanya ia akan memberi kesan yang besar kepada keputusan PRU15 yang akan berlangsung 19 November ini.

“PN masih lagi mengharapkan ada kerjasama yang boleh memberi keuntungan kepada semua pihak win-win situation dalam konteks ini saya menyebut PN dan BN.

“Boleh jadi kalau kita tidak mengambil satu langkah mengelak daripada berlaku pertembungan banyak penjuru yang boleh menyebabkan kita berdepan situasi sukar,” katanya.

Katanya, PAS masih komited mendukung konsep Muafakat Nasional (MN) walaupun berada dalam PN.

“Muafakat Nasional tetap kukuh dan masih wujud berdasarkan piagam MN yang ditandatangai presiden PAS dan Umno serta tidak ada pembatalan setakat ini.

“Kita sedang merangka kerjasama, dalam konsep presiden PAS menyebut kalau kita tidak dapat buat semua jangan tinggal semua dan kalau kita tidak boleh bekerjasama 100 peratus, jangan sesekali kita mengisytiharkan perseteruan sehingga tidak boleh bekerjasama,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2022

- Advertisement -