
Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Dua peminat pasukan Perancis yang bersemangat berbasikal dari Paris ke Doha untuk memberi sokongan kepada juara bertahan itu di Piala Dunia Qatar yang bermula November ini.
Pembuat filem dokumentari, Mehdi Balamissa dan penerbit filem, Gabriel Martin, berlepas dari Stade de France pada 20 Ogos dan telah menempuh perjalanan kira-kira 5,000 kilometer dengan basikal mereka.
Idea berbasikal untuk menyaksikan Piala Dunia Qatar tercetus ketika mereka berbasikal ke Itali untuk menonton perlawanan Liga Negara-Negara tahun lalu.
Kini, mereka berharap untuk melengkapkan perjalanan panjang menjelang perlawanan pembukaan Perancis menentang Australia pada 22 November.
“Perjalanan ini juga membolehkan kami mempromosikan mobiliti mampan, suatu cara perjalanan yang memberi peluang untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa dengan kedua-dua kaki anda boleh mengembara sekitar tempat anda atau mungkin lebih jauh,” kata Balamissa.
Mereka yang berbasikal kira-kira 120 kilometer sehari, tiba di Jordan minggu ini dan seterusnya akan menyeberangi Arab Saudi sebelum sampai ke Doha.
Martin berkata, menangani bentuk muka bumi yang berbeza dalam perjalanan selama tiga bulan adalah tugas yang menggerunkan.
“Cabaran utama adalah untuk menempuh jarak yang jauh. Kadang-kadang rata dan kadang-kadang banyak mendaki,” katanya.
Perancis, yang diundi dalam Kumpulan D, juga akan menentang Denmark dan Tunisia.
“Saya dan Gabriel, kami tidak akan menaiki basikal buat masa ini di Jordan. Walaupun kami harap Perancis akan memenangi Piala Dunia, tetapi mungkin ia sukar kali ini,” kata Balamissa.











