Piala Dunia paksa Qatar Airways hentikan penerbangan ke 18 lokasi

Suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad bertambah meriah dengan kedatangan penyokong bola sepak
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDIN

Qatar Airways menarik balik penerbangan dari 18 destinasi untuk membuka ruang di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA) kepada syarikat penerbangan yang membawa peminat untuk menyaksikan Piala Dunia di negara itu, November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Akbar Al Baker, berkata keutamaan sekarang adalah untuk menampung ratusan penerbangan yang akan mendarat di negara itu untuk kejohanan itu.

- Advertisement -

Qatar yang menjangkakan kira-kira 500 penerbangan ulang-alik sehari serta ratusan lagi penerbangan sewa dan jet peribadi, akan menganjurkan kejohanan bola sepak terbesar di dunia yang akan dihadiri kira-kira 1.2 juta pelawat.

Sebanyak 32 negara mengambil bahagian dalam perlawanan yang diadakan di lapan stadium yang terletak dalam jarak 40 kilometer dari pusat Doha.

“Sebenarnya tidak, kami tidak mempunyai sebarang destinasi baharu,” kata Akbar Al Baker pada sidang akhbar ketika ditanya sama ada syarikat penerbangan itu kini berkembang kerana Piala Dunia.

“Sebaliknya, kami mengurangkan dan menarik diri dari 18 destinasi untuk memberi ruang di HIA untuk membawa peminat.

“Keutamaan kami bukan rangkaian Qatar Airways, tetapi memberi akses kepada semua negara yang mengambil bahagian dan membawa masuk sejumlah besar penumpang,” katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan Jerman Lufthansa sedang mempertimbangkan untuk memulakan semula operasi bersama Air France dan KLM.

Ketua Pegawai Operasi HIA, Badr Mohammad Al Meerm, pula berkata ratusan penerbangan dijadualkan mendarat setiap hari untuk kejohanan itu.

Sebilangan besar peminat juga akan datang hanya untuk menonton perlawanan, memilih untuk tinggal di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

“Penerbangan ulang-alik sahaja akan ada kira-kira 500 sehari, manakala senarai penerbangan sewaan belum dimuktamadkan,” katanya.

- Advertisement -