Perhimpunan terakhir bersama warga agensi JPM HEA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perhimpunan pagi tadi merupakan majlis terakhir Senator Datuk Idris Ahmad bersama warga agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) Hal Ehwal Agama.

- Advertisement -

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, amanah untuk mengetuai JPM (Hal Ehwal Agama) adalah satu taklifan berat.

Katanya, portfolio ini penting untuk menjaga agama Islam dan umat Islam.

“Syukur, alhamdulillah, saya berasa kuat dan bersemangat kerana disokong serta didukung oleh timbalan menteri, ketua-ketua agensi dan seluruh warga agensi Islam yang bersemangat waja,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Justeru, katanya daripada lubuk hati yang dalam, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga agensi yang bertungkus lumus menjayakan agenda Islam dalam pentadbiran negara.

Tambahnya, para penjawat awam bekerja dengan penuh profesional dan sepenuh hati yang amat beliau kagumi.

Menurutnya lagi, sepanjang setahun pentadbiran, agensi Islam telah mengorak langkah memperkemas urus tadbir, memeta hala tuju dakwah, serta prihatin menjaga kebajikan umat Islam.

Beliau berkata, ia bermula dengan 5 Inisiatif Mantap dan seterusnya dipacu oleh Pelan Strategik Hal Ehwal Agama 2022-2026.

“Saya bersama YB Datuk Ustaz Marzuk Shaary, menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf atas kekurangan dan kelemahan sepanjang memimpin.

“Kami insan yang tidak sempurna,” ujarnya lagi.

Idris turut mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga agensi yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Saya memohon doa warga agensi untuk terus mendoakan kami terus istiqamah berjuang meninggikan kalimah Allah di bumi Malaysia ini.

“Setiap pertemuan, pasti ada perpisahannya. Kami berdua akan terus berdoa agar agensi Islam terus unggul di persada membela agama dan umat Islam.

“Saudara-saudari semua adalah #PasukanMenteriAgama yang hebat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 19/10/2022

- Advertisement -