
LANGKAWI: Kebimbangan banyak pihak terhadap risiko berganda Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan akhir tahun ini, benar-benar menjadi kenyataan sekarang.
Semalam, hujan lebat dan ribut di Langkawi menyebabkan banyak tempat di pulau tersebut dilanda banjir.
Banyak rumah penduduk dan bangunan milik kerajaan ditengelami air. Malah pokok tumbang boleh dilihat di sana sini.
Menurut laporan Langkawikini, kejadian kepala air air terjun Telaga Tujuh menyebabkan seramai 44 pengunjung terperangkap pagi semalam.
Berdasar laporan media pada kejadian jam 10 pagi, pengunjung sedang beriadah di kawasan air terjun itu sebelum hujan lebat.
Ekoran itu gerakan menyelamat dilancarkan segera dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat serta polis.
Pengunjung yang terperangkap dibawa menyeberangi arus deras sungai menggunakan tali. Silap haribulan mereka boleh hanyut. Ia begitu menakutkan.
Air banjir juga melimpah di Habour Park yang menjadi lokasi tumpuan utama pelancong di pulau peranginan tersebut.

Kejadian hujan lebat dan ribut petir di beberapa tempat menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran dan waspada kepada orang ramai.
Hujan lebat menyebabkan beberapa sungai melimpah termasuk Sungai Melaka di Bukit Kemboja, Sungai Melaka di Padang Matsirat, Empangan Padang Saga, Kampung Belanga Pecah Mukim Kuah, Kampung Kilim Mukim Ayer Hangat.
Selain itu Kampung Telaga Ayer Hangat Mukim Ayer Hangat, Kampung Teluk Yu Mukim Ayer Hangat.
Sementara itu Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia bagi atur gerak anggota dan logistik di kawasan berlaku banjir.
Sebelum ini menteri Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan tidak bersetuju PRU diadakan akhir tahun kerana bimbang risiko banjir.
Bagaimanapun banyak pihak melihat Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob tiada pilihan apabila berterusan didesak partinya sendiri. – HARAKAHDAILY 17/10/22











