Ditukar ke Sabah 24 jam terbabit ceramah pembangkang

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Bekas Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, pernah dihantar bertugas ke Sabah dalam tempoh 24 jam kerana terbabit dengan ceramah pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.

Katanya, beliau hanya kembali bertugas semula di Semenanjung pada 1996 selepas ditukar mengajar di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

- Advertisement -

Menurutnya, beliau dipinjam sebagai guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertugas di Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan dan Maahad Pengajian Islam.

“Bagaimanapun pada 1999 saya bertanding pada PRU ke-10 sebagai calon PAS di Dun Limbongan. Ini semua qada dan qadar daripada Allah Taala jua,” katanya di sini.

Drs Zainuddin berkata, beliau membangkitkan isu tersebut kerana bimbang tindakan KPM terhadap Cikgu Fadli Mohamad Saleh kerana menyuarakan masalah dialami murid termasuk beg berat.

Cikgu Fadli turut mendedahkan beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana memuat naik di Facebook mengenai jadual waktu dan subjek yang diajar di sekolah.

Beliau juga dikatakan mengadakan sesi Facebok Live dengan mendedahkan masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

“Ini bukan isu baharu, saya pernah cadangkan kepada KPM dalam seminar Pendidikan peringkat ASEAN Di UKM pada 1995 supaya kurikulum dikaji semula.

“Waktu itu saya di IPG Kent Sabah. Saya memberi cadangan kerana kerajaan dianggap tidak mampu melahirkan pelajar sebagai warganegara yang berintegriti terutamanya pelajar Bumiputera berbanding pelajar kaum lain,” ujar Zainuddin. – HARAKAHDAILY 17/10/22

- Advertisement -