Waspadai komplikasi akibat kencing manis

- Advertisement -

TULISAN ini bukan nak menakutkan pesakit. Tapi sepanjang pengalaman merawat pesakit, kes-kes seperti ini kerap ditemui. Sehinggakan rasa tanggungjawab beritahu kepada masyarakat kemungkinan yang akan berlaku jika menghidapi kencing manis.

Kalau doktor buka mulut sahaja beri nasihat, mesti tak menyenangkan didengari. Apa nak dibuat? Jadikan pengajaran kepada kita semua termasuk doktor itu sendiri. 

Kali ni nak beri kesedaran mengenai komplikasi buta mata akibat kencing manis. Nah berikut faktanya:

1. 1 dari 3 pesakit Diabetis mengalami masalah penglihatan terutamanya pemandangan semakin kabur, silau malam dan nampak sesuatu bayangan bergerak dalam mata.

2. 90 peratus pesakit kencing manis akan mengalami kebutaan dalam tempoh 30 tahun.

3. Tiada masalah penglihatan, tidak bermakna saraf mata tak rosak. Kena ingat dan faham itu.

4. Pesakit Diabetis 5 kali ganda menghidapi katarak (selaput mata). Katarak ini akan lebih mudah kena terutama gula tak terkawal di usia muda.

5. Pesakit Diabetis 2 kali ganda menghidapi Glaukoma (tekanan dalam mata sehingga boleh penyebab buta).

Oleh itu bagi pesakit-pesakit yang ada kencing manis beringatlah sebelum kena. Datanglah segera ke klinik untuk buat pemeriksaan. Mungkin anda tak perasan gejala awal seperti berikut:

1. Kabur penglihatan sama ada jauh atau dekat.
2. Ternampak objek berayun dalam medan penglihatan (Floaters). 
3. Kabur warna atau pudar melihat warna tertentu.
4. Wujud tompokan hitam atau gelap di bahagian tertentu medan penglihatan.

Semoga maklumat ini menjadi panduan awal supaya kita dapat membuat keputusan tepat dan cepat.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 12/10/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -