PN Pahang buat persiapan rapi hadapi PRU15

- Advertisement -

TEMERLOH: Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, beliau yang selesai mesyuarat PN negeri telah mendengar taklimat mengenai perkara itu.

“Saya baru sahaja selesai mesyuarat Perikatan Nasional Negeri Pahang dan telah dengar taklimat persiapan yang telah dibuat di peringkat negeri dalam beberapa perkara,” ujarnya kepada media, di sini semalam. Turut serta ialah Pengerusi PN negeri, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabar dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Sehubungan itu, beliau berpuas hati bahawa PN Pahang telah membuat persiapan awal untuk menghadapi PRU15 yang kebetulan semalam juga diumumkan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagaimanapun laporan mesyuarat mendapati kerjasama antara parti Perikatan Nasional iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan cukup akrab dan ini adalah satu petanda yang baik,” katanya.

Menurutnya, melalui mesyuarat itu juga beberapa perkara penting telah disusun rapi malah rundingan kerusi juga telah dibuat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen.

Menurutnya lagi, pembahagian kerusi-kerusi hampir selesai dan akan dibawa kepada pemimpin tertinggi di peringkat pusat

“Saya fikir kita sudah ada kerjasama yang rapat dan tiada masalah yang timbul dan bagi kami, kita yakin dengan gerak kerja yang disusun kita akan capai kemenangan,” ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan, jentera-jentera disusun atas nama Perikatan Nasional.

“Tidak perlu tiga jentera, hanya satu jentera yang dikombinasikan dengan penyertaan pimpinan dari parti-parti yang lain supaya dapat bergerak dengan lancar,” tambahnya.

Pada pilihan raya umum lalu, sebanyak 25 daripada 42 kerusi DUN Pahang dimenangi Barisan Nasional, Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan). Di negeri ini terdapat 14 kawasan Parlimen.

Mengenai pembubaran Parlimen, Muhyiddin berkata PN menerima keputusan itu yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang berlandaskan dan selaras dengan Perlemabagaan negara.

“Kami hormati walaupun sebelum ini Perikatan Nasional telah memberikan pandangan kerana situasi semasa ini tidak berapa sesuai dalam erti kata kemungkinan berlakunya banjir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2022

- Advertisement -