
Oleh AIN MANAF
D.I KHAN (Pakistan): Bekalan air bersih amat diperlukan rakyat Pakistan sekarang memandangkan mereka berdepan penyakit bawaan air selepas banjir besar melanda baru-baru ini.
Pengarah PASReleif, Mohd Yusni Mat Piah berkata, penyakit semakin tidak terkawal selepas menyerang puluhan ribu mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.
Katanya, bantuan daripada komuniti antarabangsa diperlukan untuk memastikan penyakit bawaan air terkawal.
“PASRelief sedaya upaya mengumpul dana bagi menyediakan kemudahan termasuk tangki air untuk simpanan air bersih bagi kegunaan penduduk tempatan.
“Sumber bekalan air begitu penting bagi kegunaan harian mereka. Kita berharap rakyat Malaysia memberi sumbangan bagi menyediakan tangki simpanan air bersih,” katanya selepas meninjau lokasi terjejas banjir di sini.
Rombongan PASRelief meninjau beberapa kawasan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KPK) di mana enam daerah KPK terjejas teruk akibat banjir monsun melanda baru-baru ini.
Mereka juga meninjau kawasan yang sesuai untuk didirikan sebuah masjid bagi kegunaan penduduk tempatan.
Sementara itu orang ramai boleh menyumbang melalui akaun PASRelief 5640 7061 2333 (MAYBANK ISLAMIC) atau melayari laman sesawang https://infaqpay.my/plus/tabung-bencana-banjir-pakistan-paserelief. – HARAKAHDAILY 11/10/2022











