
Oleh SYAHIRAH SALLEH
SUSUK tubuh ini berkaliber semasa berbahas di Dewan Negara, siapa sangka mempunyai minat menonton filem berlatar belakangkan kisah dan budaya rakyat sesuatu masyarakat. Selain meminati kepimpinan Arsene Wenger dalam menguruskan kelab pasukan bola Arsenal, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin juga gemar menonton Moto GP. Baginya, perlumbaan motosikal penuh dengan drama dan filem bergenre Kannada memberi pengetahuan baharu mengenai budaya sesuatu masyarakat.
Harakah: Apa makanan kegemaran Ir?
Sate, saya suka makan sate Hut di Tanjung Karang.
Apakah sukan kegemaran Ir selain bola sepak?
Sekarang saya sukan yang tidak kompetitif. Maksudnya tiada pertandingan, contoh berekreasi, mendaki, dan berbasikal suka-suka, ia bukan sesuatu yang perlu pertandingan. Antara gunung yang saya pernah daki, adalah Gunung Bubu di Kuala Kangsar. Sekarang saya semakin berusia, saya suka pendakian yang menyeronokkan.
Tidaklah banyak gunung yang saya daki, saya juga pernah diajak untuk mendaki Gunung Kinabalu, tetapi ia mengambil masa sebab memerlukan kepada latihan dan sebagainya. Tetapi impian saya adalah untuk mengembara di Himalaya dengan menunggang motosikal. Ada pakejnya untuk menaiki motosikal dan pusing sekitar banjaran Himalaya.
Apakah sukan Ir gemar untuk ditonton?
Saya suka Moto GP, sebab dia ada drama. Teknikal dan drama. Akan ada berlaku kerosakan, akan ada strategi pit, akan ada kemalangan. So, semua itu adalah drama kepada sukan-sukan tersebut.
Pelumba mana yang Ir suka tengok?
Kalau dulu, saya suka Valentino Rossi, tetapi Rossi sudah bersara. Jadi sekarang ini saya tengah memilih sama ada Fabio Quartararo ataupun orang lain.
Apakah filem kegemaran Ir?
Drama KGF. Drama yang mendebarkan, genre cerita itu dia ganas, Kannada. KGF mempunyai banyak pengajaran dalam drama ini. Saya cadangkan kamu tonton cerita ini.
Kualiti filem Tamil dan India, adakah Ir melihat masa depan mereka akan mengatasi filem-filem keluaran Hollywood?
Saya yakin sebab cerita mereka itu, mereka berani menyuarakan suara rakyat dalam cerita mereka. Contohnya Jai Bhim, ini pun kena tengok juga. Jai Bhim adalah kisah bagaimana kasta-kasta di India merosakkan masyarakat India. Dia sekali tumbuk sahaja mati, selesai. Ini sekali tumbuk pusing, pusing, pusing tidak mati, stress hidup.
Ada mengikuti industri hiburan Malaysia? Apa pandangan Ir tentang industri hiburan Malaysia?
Industri kita kalau lihat dari industri perfileman, blooming (berkembang). Kalau dahulu untuk dapat kutipan satu juta susah, sekarang lebih mudah. Cuma saya lebih suka kepada karya arwah Mamat Khalid, kerana ia menjadi satu karya yang berceritakan tentang suasana rakyat Malaysia sebenar.
Macam Pok Ya Cong Codei, itulah suasana sebenarnya rakyat Malaysia, jadi kalau kita boleh paparkan tanpa sebarang kekangan, bagaimana cerita orang larikan anak pergi ke Selatan Thailand, benda-benda ini benda yang betul, bukan tidak betul. Jadi kisah sebegini yang boleh kita cerita keadaan sebenar rakyat.
Pada pandangan Ir, adakah filem tempatan mampu untuk terbang jauh?
Kalau perfileman Iran, pasal hilang selipar pun boleh pergi jauh, inikan pula Malaysia. Saya cadangkan kita tonton kisah Kaki Bakar, Jogho. Kalau dulu kita ada Abang, ini Emma Manan dengan Ahmad Yatim. Itu saya kalau drama, boleh tengok (cadang tonton) cerita Luk Tujuh.
Takkan nak tengok Tujuh Hari Mencintaimu? The most problematic family in Malaysia. Kalau dulu, kita tengok cerita Puteri kan, Eman Manan dengan Fauziah Ahmad Daud. Kualiti filem itu (yang kita suka). Kalau filem Allahyarham Tan Sri P Ramle, jauhlah bezanya.
Baru-baru ini saya tonton Fenomena, itu kisah tentang bagaimana budaya orang Melayu di Terengganu. Jadi, budaya-budaya ini yang sepatutnya kita ceritakan kepada anak muda sekarang. Kita boleh buat perubahan, tetapi budaya itu biar selari dengan budaya ketimuran. Dia bukan kisah heavy (berat) pun.
Kalau kita tengok genre yang dibuat oleh perfileman sekarang, dia terpaksa bersaing. Dia hendak cerita pasal apa? Hendak cerita pasal Cicakman? Kalau hendak buat Cicakman, orang akan banding hasil tempatan dengan produk Marvel. Jadi, macam mana kita hendak banding dengan CGI mereka dengan CGI sedia ada?
Contoh filem Mat Kilau, bagi saya Syamsul berani untuk membawa idea yang sebegitu, cerita begitu sepatutnya dipanjangkan sebab kisah Mat Kilau ini bukan satu hari, dia panjang. Jadi kalau dia masukkan semua dalam satu filem, mungkin akan merencatkan beberapa episod lain yang sepatutnya diceritakan.
Contohnya kisah Etrugul, Etrugul kan 500 episod kan. Tetapi kita tahu dan faham sukar untuk dapatkan bajet sebegitu. – HARAKAHDAILY 8/10/2022











