
BANYAK sangat, tak tahu dan bagaimana.
1. Banyak sangat perkara nak dibuat.
2. Tak tahu nak buat apa.
3. Tak tahu bagaimana nak bermula.
Itulah 3 elemen yang biasa menyelubungi fikiran kita, atau ramai daripada kita. Akibatnya hidup kita jadi jem, dan terus berada di takuk lama.
Team kebajikan kami menziarahi satu keluarga di Kg. Teras Jernang. Kami tiba di sebuah rumah menemui sebuah keluarga yang sedang dalam kesempitan. Ketua keluarganya ditamatkan perkhidmatan oleh sebuah kilang kerana tidak boleh bekerja.
Tidak boleh bekerja kerana sakit. Tiada juga nampak kesalahan di pihak syarikat kerana gaji masih dibayar walaupun beliau tidak bekerja hampir setahun, dengan kadar separuh gaji.
Cuma kos perubatan beliau tidak mampu ditampung dengan pendapatan sebegitu, dan ditambah lagi dengan saraan hidup beliau sekeluarga.
Keluarga yang kami ziarah itu hanya satu contoh daripada keluarga-keluarga yang punya masalah yang serupa.
Soalnya, bukankah pihak berkuasa – negeri dan Persekutuan – ada pelbagai agensi yang berperanan menyantuni golongan begini? Khabarnya pula, pelbagai produk ada disediakan untuk golongan seumpama ini. Mengapa tidak sampai kepada mereka?
Mungkinkah kerana delivery system, sistem penyampaian? Sistem yang mempermudahkan orang awam supaya tahu apa nak buat dan tahu bagaimana nak buat, tahu di mana harus bermula.
Sebab itulah agaknya ramai orang bertanya di mana ketua kampung, di mana orang YB, di mana orang JKM, di mana orang Pusat Zakat, di mana AJK Masjid, di mana orang itu di mana orang ini. Kan?
Mungkin benar masalah ini berkait rapat dengan delivery system, agaknya.
USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 6/10/2022











