Kemudahan ESports diperluaskan ke seluruh negara

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama dengan persatuan sukan negeri menyediakan kemudahan infrastruktur sukan elektronik (ESports).

Ini dilakukan dengan menaik taraf Studio ESports sedia ada di peringkat negeri dan membangunkan Hub ESports Kebangsaan di Puchong menerusi inisiatif Impak Bersepadu.

- Advertisement -

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata sehingga kini, Studio ESports di peringkat negeri dan Youth Cabin telah siap sepenuhnya sejak 2021.

Katanya, kemudahan-kemudahan ini adalah di bawah kendalian persatuan sukan negeri masing-masing bagi mewujudkan ekosistem ESports yang mampan di negeri dan juga persekitaran digital yang berdaya saing menerusi pelaksanaan pelbagai progam atau kejohanan.

“ESports Integrated (ESI) juga mengambil pendekatan proaktif untuk memangkin kolaborasi dalam kalangan pemain industri ESports, melalui sokongan dan sebagai penganjur bersama kejohanan ESports profesional peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa.

“Antara syarikat penerbit permainan tersebut adalah Moonton, Tencent Games dan Garena,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Fadhli Shaari (PAS- Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sejauh mana perkembangan fasiliti dan kemudahan sukan elektronik (ESukan) telah dibangunkan oleh kementerian bagi memenuhi keperluan belia.

Ahmad Faizal berkata, kementerian juga dalam proses untuk memperkenalkan sebuah Garis Panduan Pembangunan ESports Kebangsaan dengan turut melibatkan beberapa kementerian dan pemegang taruh industri berkaitan sebagai permulaan untuk menggubal sistem pentadbiran, peraturan dan pengawalseliaan industri ESports yang mampan dan inklusif.

Sebagai penghargaan kepada sumbangan dan pengiktirafan terhadap pencapaian penggiat ESports yang mengharumkan nama negara dan membangunkan ekosistem di negara ini, katanya kementerian akan mewujudkan anugerah khusus kepada semua pemegang taruh terlibat.

“ESports semakin mendapat perhatian di kalangan masyarakat Malaysia apabila atlet ESports berjaya meraih satu pingat emas dan satu pingat gangsa dalam Sukan SEA Manila pada 2019.

“Malaysia juga membawa pulang tiga pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi 2022. Manakala dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022, Esports telah dianjurkan sebagai sukan demonstrasi dengan pasukan negara bagi DOTA2 lelaki, DOTA2 wanita serta e-Football membawa pulang tiga pingat emas,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/22

- Advertisement -