
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim telah menyumbang 40 buah motosikal dengan nilai keseluruhan RM200,000 baru-baru ini.
Motosikal nasional, Modenas menjadi pilihan beliau untuk disumbangkan kepada penerima yang tersenarai sebagai miskin tegar (E-Kasih) dalam Parlimen Kuala Terengganu merangkumi penduduk di DUN Batu Buruk, Ladang, Bandar dan Wakaf Mempelam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata menerusi penyerahan sumbangan motosikal itu diharap dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan pendapatan mereka berikutan peningkatan kos hidup, termasuk kenaikan harga barangan keperluan pada masa sekarang.
“Sumbangan seperti ini bukanlah kali pertama yang dilaksanakan. Sebelum ini ia dibuat secara kecil-kecilan, dalam tiga ke lima buah motosikal disumbangkan.
“Hari ini kita buat secara besar-besaran melibatkan penerima di keempat-empat DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.
Majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Pusat Tarbiah DUN Wakaf Mempelam, Kubang Parit turut dihadiri oleh ADUN Wakaf Mempelam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; ADUN Ladang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Pengarah Pembangunan negeri, Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Azmi Awang dan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu bagi hal ehwal bukan Islam, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Penerima terdiri daripada mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan, buruh, peniaga makanan dan sebagainya.
Rata-rata penerima meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada Ahli Parlimennya di atas sumbangan motosikal yang diterima mereka
Program itu merupakan kerjasama bersama Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu di bawah inisiatif peningkatan pendapatan dan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 10/9/2022




















