
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengambil maklum penjelasan PAS bahawa tiada rundingan rasmi dibuat antara PAS dan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, perbincangan adalah secara tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan itu setelah Umno membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRU15.
“PAS juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam Perikatan Nasional,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN malam tadi yang telah dihadiri oleh semua wakil parti-parti anggota.
Beliau menjelaskan, Majlis Tertinggi PN telah membuat ketetapan untuk memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.
Tambahnya, mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 telah meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah itu mesti diberikan tumpuan oleh kerajaan.
“Bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, Perikatan Nasional mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat agar melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya yang juga Presiden Bersatu.
Menurutnya lagi, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional dalam mesyuarat malam tadi juga telah meluluskan pelantikan ketua-ketua kawasan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang. – HARAKAHDAILY 8/9/2022











