
Oleh NOR HAZWANI NOH
ALOR SETAR: Sidang As-Sabiqun PAS Pusat kesal kegagalan kerajaan mengawal aktiviti hedonisme sehingga ada pihak berterusan membawa masuk artis dari Barat dan K-pop untuk mengadakan persembahan dan konsert hiburan yang melalaikan.
Pengerusinya, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed mengingatkan bahawa bencana yang diturunkan oleh Allah di seluruh negara belum lagi pulih sepenuhnya.
“Tidak serikkah dengan bencana Covid-19 yang belum berakhir ini atau kita sememangnya mahu mencabar Tuhan agar menurunkan bala yang lebih besar?” soalnya dalam ucaptama Konvensyen Sidang As-Sabiqun PAS Pusat 2.0 di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut kesal dengan sambutan hangat masyarakat, terutama generasi muda terhadap hiburan melampau seperti ini.
Ini katanya, termasuk juga sambutan mereka terhadap persembahan Bon Odori yang telah diberi amaran oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Kenapa masih ramai umat Islam yang tidak mempunyai sensitiviti terhadap elemen yang merosakkan aqidah seperti ini.
“Adakah amaran dan tegahan Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak mempunyai nilai di mata mereka? Adakah masyarakat belum sedar bahawa dukungan mereka terhadap aktiviti seperti ini akan meluaskan lagi penularan budaya hidup dan fahaman liberal dalam masyarakat.
“Pemikiran liberal yang berkembangan dalam masyarakat Islam merupakan ancaman terbesar terhadap aqidah umat Islam pasca kejatuhan pengaruh pemikiran sekular,” jelasnya.
Menurut beliau, barat telah menukar pendekatan mereka daripada meluaskan sekularisme kepada menyebarkan faham liberal atau liberalisme sehingga generasi muda umat Islam terus hidup lalai tanpa pegangan agama di atas nama kebebasan.
“Mereka telah mempromosi aliran-aliran pemikiran baru yang menyamakan semua agama, bebas mengkritik hukum-hukum wahyu, termasuk mencerca para ulama di dunia maya.
“Tokoh-tokoh liberal diberikan tempat di media-media sosial, sehingga akhirnya mereka dapat mempromosikan pula budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan lain-lain,” katanya.
Di satu ruang yang lain, kata Mahfodz, didapati ada usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghidupkan semula amalan khurafat dan bid’ah dalam masyarakat.
“Walhal kita diperintahkan agar berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan.
“Saya berharap kerajaan segera membuka mata dan menangani perkembangan-perkembangan negatif ini agar ketulenan aqidah generasi muda dapat dipertahankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022











