Perlu hayati makna sebenar kemerdekaan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sambutan ulang tahun kemerdekaan yang dianjur setiap tahun bukan sekadar retorik semata-mata, sebaliknya ia perlu dihayati maknanya yang sebenar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun saban tahun kita meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan, namun perlu dihayati makna sebenar.

“Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, apa makna kemerdekaan yang sebenar dan adakah ia semata-mata membawa maksud bebas daripada penjajahan.

- Advertisement -

“Erti kemerdekaan sebenar perlu difahami sebaiknya untuk membina kesedaran serta jati diri agar kukuh sebagai anggota ‘Keluarga Malaysia’. Pengkisahan semula peristiwa di lembaran sejarah tidak cukup untuk memastikan makna dan nilai kemerdekaan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Ambang Merdeka Hari Kebangsaan kali ke-65 di Dataran Pekan Rabu, Alor Setar malam tadi.

Sebaliknya menurut beliau, penghayatan erti merdeka membabitkan jiwa dan minda agar diterapikan dalam hati sanubari setiap anak bangsa.

Katanya juga masih terdapat ancaman penjajahan dalam bentuk baharu iaitu minda dan gaya hidup sungguhpun negara sudah 65 tahun merayakan ulang tahun hari bersejarah itu.

Justeru tegas Sanusi, setiap warga Malaysia perlu mempunyai jati diri sebagai anggota Keluarga Malaysia menerusi empat aspek teras iaitu, agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.

Beliau berkata, empat teras Keluarga Malaysia bukan sahaja perlu diterapkan kepada semua warga Malaysia, sebaliknya generasi muda agar makna sebenar kemerdekaan dapat dihayati serta difahami.

Bahkan katanya, itulah juga prinsip yang terkandung dalam tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

“Mereka yang pernah hidup dalam era penjajahan, sudah lama tiada, begitu juga mereka yang pernah berjuang bersabung nyawa menentang penjajah, kebanyakannya sudah tidak ada lagi.

“Justeru semua rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa atau pegangan politik perlu bersama-sama mempertahankan tanah air yang tercinta ini,” tambahnya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Dato’ Norizan Khazali, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai kanan kerajaan dan wakil-wakil agensi kerajaan dan jabatan. – HARAKAHDAILY 31/8/2022

- Advertisement -