Negara makmur apabila masyarakat bersatu padu, bekerjasama

Dato' Hassan Mohamood
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kita perlu ingat kemerdekaan bukan hanya bebas daripada kuasa penjajah, bahkan perlu bebas daripada belenggu nafsu, sifat buruk dan akhlak yang tidak bermoral.

Antara sifat buruk yang wajib dijauhi ialah suka bermusuhan kerana sikap itu akan menatijahkan perkara yang lebih buruk iaitu perpecahan dalam masyarakat.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Dato Hassan Mohamood berkata, kemerdekaan yang dinikmati tidak ada erti jika kita hidup dalam keadaan saling bersangka buruk, saling berdendam dan saling bermusuhan.

- Advertisement -

Oleh itu katanya seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam diajak sama-sama berganding bahu membentuk negara Malaysia dengan lebih baik.

Kata beliau semua sedia maklum negara yang makmur dapat diwujudkan apabila masyarakat bersatu padu dan saling bekerjasama.

“Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang sentiasa memberi kepada kita nikmat-nikmat-Nya yang tidak mampu dihitung. Antara nikmat besar yang dikurniakan kepada kita rakyat Malaysia adalah nikmat kemerdekaan.

“Tahun ini genap 65 tahun kita menyambut kemerdekaan setelah kita dijajah beberapa kali oleh pelbagai bangsa asing. Kemerdekaan menjadi bukti kita mampu berdiri dengan sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak lain,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya juga rakyat perlu bersyukur di atas nikmat kemerdekaan dengan cara sentiasa bermuhasabah diri untuk menjadi umat yang lebih baik, bersatu hati dan bekerjasama bagi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

“Sama-sama kita hayati tema Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2022,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2022

- Advertisement -