Rakyat Kedah boleh manfaatkan Jelajah AKM

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Rakyat Kedah daripada pelbagai lapisan masyarakat diseru berkunjung ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) negeri itu pada 2 hingga 4 Sept ini, sekali gus mengambil peluang daripada program dan acara yang disediakan.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pelbagai agensi kerajaan akan menyediakan program dan acara tertentu yang boleh dimanfaatkan rakyat negeri itu.

- Advertisement -

“Pelbagai program akan diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman di sini yang dapat mengeratkan hubungan antara kaum, selain memperkenalkan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

“Ia juga mempamerkan pencapaian dan usaha dibuat kerajaan untuk maklumat rakyat. Selain itu, terdapat program outreach seperti ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia di Kuala Nerang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sanusi berkata AKM Kedah akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat ini, yang juga akan menghadiri program lain sehari sebelum itu termasuk mengadakan lawatan ke Baling yang terkesan akibat bencana banjir pada 4 Julai lepas.

Menurutnya penganjuran jelajah berkenaan diterajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), namun sebagai tuan rumah kerajaan negeri turut menyediakan keperluan tertentu bagi melancarkan perjalanan program berkenaan.

Jumaat lepas, Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun berkata sebanyak 117 program akan disediakan sebagai pengisian sepanjang tiga hari Jelajah AKM Kedah yang menyasarkan 100,000 pengunjung. – BERNAMA

- Advertisement -