
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Program seumpama Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) atau Biro Tata Negara (BTN) wajar diwujudkan kembali bagi menerapkan semangat cintakan tanah air khususnya dalam kalangan remaja.
Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghafar berkata, program seumpama itu bukan hanya dilaksana di Malaysia malah kebanyakan negara maju mengadakan program serupa.
Katanya negara terbabit termasuk Singapura dan Korea Selatan.
“Program tersebut diadakan bagi menanam sifat nasionalisme dan patriotisme kepada peserta yang merangkumi pelbagai modul dalam tempoh tertentu.
“Modul kenegaraan, khidmat masyarakat dan pembinaan karektor adalah antara pengisian program PLKN yang pernah diadakan sebelum ini,” katanya pada Bicara Citra Merdeka bertajuk Generasi Muda Mengisi Kemerdekaan secara atas talian hari ini.
Turut diundang sebagai ahli panel Pengurus Komunikasi Media Petronas Pantai Timur, Zamri Mohamad, manakala Zulkifili Salleh dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman bertindak sebagai moderator.
Pelajar yang mengikuti forum tersebut boleh mengemukakan soalan dan diberi hadiah saguhati, sijil dan hadiah misteri.
Dr Wan Rohila berkata, PLKN juga dapat mengeratkan hubungan antara kaum dalam kalangan pelajar yang sebelum ini tiada pendedahan.
Katanya, pengalaman aktiviti seperti tinggal sebilik, makan setalam dan menjalani latihan dalam kumpulan membolehkan peserta PLKN saling mengenali antara satu sama lain.
“Kebanyakan pelajar yang pernah menyertai program tersebut merasai semangat cinta negara semakin meningkat berbanding pelajar yang tidak menyertainya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2022











