
IPOH: Semua 59 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menerima 859 Kit Ujian Pantas (RTK) melibatkan perbelanjaan RM350,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, inisiatif itu adalah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Negeri Perak.
“Kita edarkan RTK kepada semua Pusat Khidmat ADUN termasuk ADUN Kerajaan dan Pembangkang dan pusat khidmat seterusnya akan edarkan kepada penduduk setempat bagi membuat pengesanan awal COVID-19.
“Kita mohon supaya mereka yang bergejala untuk jalani ujian COVID-19 supaya tidak berjangkit kepada golongan yang berisiko,” jelasnya yang juga ADUN Selama.
Tegas beliau, walaupun situasi COVID-19 hampir reda, masyarakat masih perlu mematuhi saranan serta nasihat-nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi memastikan kesihatan awam terjamin, Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak mengambil inisiatif mengedarkan kit RTK di bawah PRE Negeri Perak. – HARAKAHDAILY 25/8/2022















