
KUALA LUMPUR: Pertembungan antara Kuala Lumpur (KL) City FC dengan PSM Makassar (Indonesia) pada perlawanan akhir Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) esok dijangka sengit.
Ketua jurulatih KL Bojan Hodak berkata kali terakhir mereka bertemu dalam saingan Kumpulan H perlawanan berakhir seri tanpa jaringan, justeru penting bagi kedua-dua pasukan mencari jalan untuk menjaringkan gol.
“Kami sudah saling mengenali dari perlawanan terdahulu. Saya kenal 90 peratus pemain PSM Makassar, namun, pertemuan esok sukar kerana kedua-dua pasukan mempunyai pemain yang rajin.
“Pemain tengah mereka sangat mahir dan berbahaya. Ramai pemain pantas.. jadi jika diberi ruang mereka semua sangat berbahaya,” katanya pada sidang media hari ini.
Hodak turut mengakui skuad The City Boys mempunyai kelebihan ke atas anak buah Bernardo Tavares itu kerana mereka akan beraksi di tempat sendiri.
Sementara itu, ketua jurulatih PSM Makassar Tavares berkata pasukannya berjanji untuk melakukan yang terbaik.
Katanya peluang seumpama itu jarang diperoleh, justeru beliau mahu anak buahnya menikmati perlawanan esok.
Juara zon ASEAN akan meneruskan cabaran dalam saingan separuh akhir antara zon bagi memburu kejuaraan Piala AFC. – BERNAMA











