Ayah Ud (Mohd Daud Salleh)

Jawatankuasa Agung PAS pertama dari Kelantan

- Advertisement -

PENGENALAN

Keunggulan Tan Sri Dato’ Mohd Asri Haji Muda dalam sejarah perkembangan PAS Kelantan telah menutupi nama beberapa tokoh besar yang mengasas dan menggerakkan PAS Kelantan pada dekad 1950-an. Salah seorang tokoh tersebut ialah Haji Mohd Daud bin Mohd Salleh, ahli PAS Kelantan yang pertama dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS dalam Mesyuarat Agung PAS Ketiga di Parit Buntar pada 12-14 Ogos 1954. Sebenarnya, Haji Mohd Daud atau lebih mesra dikenali di kalangan ahli-ahli PAS sebagai Ayah Ud adalah abang ipar Dato’ Mohd Asri sendiri, sekali gus menjadi bapa tiri kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ishak Lotfi Haji Omar. Beliau dikenali dengan panggilan Ayah Ud kerana beliau adalah orang tua dalam PAS Kota Bharu.

Latar belakang pendidikan

Ayah Ud yang dilahirkan pada 1894 di Kota Bharu, Kelantan. Keluarganya tinggal di kawasan Masjid Muhammadi yang merupakan pusat pendidikan Islam yang terkenal ketika itu kerana kewujudan puluhan institusi pengajian di sekitarnya seperti Pondok Lorong Tok Semian, Pondok Haji Abbas Sungai Budor, Pondok Haji Nik Man Khatib, selain Masjid Muhammadi sendiri. Di situ juga terletak perkampungan pembesar-pembesar Kelantan di Kubang Pasu yang menyebabkan suasana inteligensia wujud di sana. Dalam suasana inilah, Ayah Ud dilahirkan iaitu ketika Kelantan sedang diperintah oleh Sultan Mansor (1890-1900), seorang sultan yang sangat mengambil berat mengenai perkembangan agama Islam dan perlaksanaan hukum-hukum Allah.

Selepas mendapat didikan awal daripada keluarganya sendiri, Ayah Ud memasuki Sekolah Melayu di Jalan Post Office Lama (depan Padang Merdeka sekarang) pada 1904. Beliau merupakan pelajar cemerlang di sekolah itu, malangnya ketika itu tidak ada sekolah yang lebih tinggi, maka selepas tamat Darjah Lima pada 1909, beliau terus diterima menjadi guru. Di samping itu juga, beliau turut mengikuti pengajian agama secara tidak formal di pondok-pondok sekitar Kota Bharu dan mengikuti kelas bahasa Inggeris sebelah petang ketika sudah bergelar cikgu. Selepas berhenti daripada jawatan guru pada 1918, Ayah Ud pernah menyertai perkhidmatan kerajaan sebagai kerani di Pasir Puteh. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara ialah Kerani Besar di Kota Bharu.

Berpolitik di media

Ketika beliau menjadi kerani, telah muncul dua tokoh politik yang terkenal di Kelantan iaitu Abdul Kadir Adabi dan As’ad Shukri Haji Muda yang lebih junior daripadanya. Kedua-dua tokoh ini telah banyak membentuk kesedaran masyarakat terutama selepas Perang Dunia Pertama. Ketika itu suasana politik Kelantan agak tegang kerana kemasukan pengaruh Inggeris pada 1910 yang membawa kepada kebangkitan Tok Janggut pada 1915. Ayah Ud berkhidmat sebagai kerani di Pasir Puteh sebaik sahaja kebangkitan Tok Janggut berakhir. Di sinilah, Ayah Ud sebagai seorang yang menolak perluasan pengaruh British di Kelantan mula menceburkan diri dalam dunia kewartawanan. Beliau telah terlibat menerbitkan sebuah majalah, ‘Teruk’ ketika berkhidmat di Pasir Puteh selepas Perang Dunia Pertama.

Sepanjang dekad 1920-an, Ayah Ud mula menyalurkan pandangan-pandangan politik dan sosialnya melalui majalah dan akhbar-akhbar. Beliau menulis di beberapa buah akhbar ketika mana beberapa majalah dan akhbar seperti Pengasoh, al-Hikmah, al-Hidayah, al-Kamaliah, al-Kitab dan Kencana mula diterbit di Kota Bharu, Kelantan ketika itu. Di samping itu, Ayah Ud turut menlis novel-novel yang membawa tema pembaharuan pemikiran ketika itu. Dalam masa yang sama, As’ad Shukri Haji Muda dan Abdul Kadir Adabi telah menubuhkan pula beberapa pertubuhan separa politik seperti Putera Klab (1928), Persatuan Setiawan Belia (1931), Dewan Bahasa Melayu (1935) dan Persekutuan Persetian Melayu Kelantan (PPMK) pada 1940. Ayah Ud terlibat secara langsung dengan beberapa pertubuhan ini kerana ia dipimpin oleh As’ad Shukri yang ketika itu juga merupakan seorang kerani di Pejabat Penggawa Kota Bharu.

Melalui perkenalan inilah, Ayah Ud mengahwini kakak As’ad Shukri, Hajah Che Minah Haji Muda (juga kakak Dato’ Mohd Asri) yang menyebabkan beliau menyertai keluarga politik terkenal keturunan Dato’ Maha Menteri Che Ha’ itu. Perkahwinan ini telah menyebabkan Ayah Ud bukan sahaja menjadi abang ipar kepada Dato’ Mohd Asri, tetapi menjadi ayah sekali gus kepadanya kerana ketika itu Dato’ Mohd Asri dibela oleh kakaknya setelah ayahnya, Haji Muda meninggal dunia ketika beliau baru berusia lima tahun (1915). Menurut Dato’ Mohd Asri, penglibatan Ayah Ud dalam politik, khususnya dunia kewartawanan ketika itu telah membantunya membina karisma politiknya, selain didorong oleh abangnya sendiri, As’ad Shukri. Ketika itu anak tirinya, Dato’ Ishak Lotfi sedang melanjutkan pengajian di Mekah semenjak 1927. Isteri Ayah Ud, Che Minah adalah cucu kepada Dato’ Maha Menteri Che Ha’, Menteri Besar Kelantan, 1891-1894.

Kepulangan Dato’ Ishak Lotfi pada 1937 telah membuka ruang kepada Ayah Ud untuk meluaskan lagi kegiatan politiknya. Pada 1938, dengan sokongan Ayah Ud, sebuah percetakan, Matbaah al-Maarif yang bertanggungjawab mencetak dan menerbitkan beberapa majalah dan buku-buku di Kota Bharu menjelang Perang Dunia Kedua. Antara majalah yang diterbitkan ialah ‘ar-Risalah’ di mana Ayah Ud sendiri menjadi pengarang dengan dibantu oleh Dato’ Ishak Lotfi. Dato’ Ishak Lotfi pula menjadi pengarang ‘ar-Riwayah’ dengan dibantu oleh Ayah Ud. Majalah ar-Risalah ketika dianggap kembar kepada majalah ‘al-Hikmah’ yang terbit semenjak 1934. Di samping itu, Matbaah al-Maarif turut menerbitkan novel-novel Ayah Ud antaranya ‘Pertelingkahan Hidup’ yang diterbitkan dalam dua jilid menjelang awal 1940-an.

Aktivis kepartian di Kelantan

Pengalaman luas beliau dalam dunia penerbitan dan kewartawanan telah membawa beliau terlibat dalam suara rasmi PPMK, ‘Penyedar’ yang diterbitkan selepas Perang Dunia Kedua. Majalah ini dipimpin oleh Dato’ Mohd Asri dengan dibantu oleh Kamaluddin Mohamad (Keris Mas). Ayah Ud menjadi penulis pojok majalah Penyedar dengan nama pojoknya, Pak Buruk. Selepas menyertai PAS pada 1954, Ayah Ud sekali lagi diberikan tanggungjawab berkaitan penerbitan. Beliau menyertai redaksi Suara Islam, lidah rasmi PAS pimpinan Dato’ Mohd Asri dan Amaluddin Darus yang diterbitkan di Kota Bharu. Selain terlibat secara langsung dalam dunia penerbitan dan kewartawanan sebagai kegiatan politiknya, Ayah Ud sebagai seorang pemuda yang terdedah dengan kehidupan inteligensia di Kota Bharu sangat cenderung kepada aktiviti politik organisasi.

Pada peringkat awal, Ayah Ud menyertai Pasir Puteh New Club yang menerbitkan Teruk ketika bertugas di sana, tetapi mula terlibat secara aktif dalam persatuan-persatuan atau kelab-kelab ketika berada di Kota Bharu, terutama kelab-kelab yang ditubuhkan di Kota Bharu oleh As’ad Shukri dan Abdul Kadir Adabi. Tetapi, menjelang akhir 1930-an, ekoran penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) Cawangan Kelantan, Ayah Ud turut menyertai kesatuan ini yang kebetulannya dipimpin oleh iparnya sendiri, As’ad Shukri. Pada zaman Jepun, KMM telah diharamkan pada 1943 yang menyebabkan beberapa pemuda termasuk Ayah Ud dan Dato’ Mohd Asri menyertai Barisan Pemuda Sukarela Kelantan (BPSK) yang bergerak di bawah tanah untuk menentang Jepun, sedangkan Abdul Kadir Adabi dan As’ad Shukri sebagai pemimpin utama bergerak dalam pasukan separa tentera Jepun, Pembela Tanah Air (PETA).

Selain bergerak dalam KMM, Ayah Ud telah menjadi anggota PPMK semenjak 1940, tetapi pertubuhan politik ini tidak bergerak pada zaman Jepun. Tetapi setelah Dato’ Ahmad Mohamad mengambil alih kepemimpinan daripada Tengku Mahmud Sultan Mohamad IV pada 1946, Ayah Ud telah dilantik Ahli Jawatankuasa PPMK dengan mengetuai Badan Kebajikan PPMK. Dato’ Ishak Lotfi menjadi Setiausaha PPMK, manakala Dato’ Mohd Asri menjadi Penolong Setiausaha PPMK merangkap Setiausaha Badan Kebajikan. Adik ipar beliau, As’ad Shukri hanya menjadi PPMK pada Oktober 1948, selepas Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) diharamkan. Ayah Ud bersama Mohd Asri dan Ishak Lotfi kemudian mengasaskan majalah Penyedar sebagai lidah rasmi PPMK. Penyedar berjaya diterbitkan sebanyak lapan keluaran dengan memberi tumpuan kepada pembakaran semangat kemerdekaan seperti di Indonesia.

Dalam pada itu, ketika pertubuhan-pertubuhan politik Melayu bersidang di Johor Bahru atas tajaan Umno pada 14 Ogos 1953 untuk membincangkan mengenai tuntutan pilihan raya segera, Ayah Ud bersama As’ad Shukri telah mewakili PPMK dalam persidangan itu. Pada akhir 1953, sekali lagi, mereka berdua menjadi wakil PPMK dalam National Convention tajaan Perikatan Umno-MCA. Dato’ Mohd Asri pula hadir mewakili PAS dalam konvensyen ini. Namun begitu, kerana kecewa dengan sikap Umno yang menggadai kepentingan bangsa Melayu dalam National Convention, wakil PAS dan PPMK telah menarik diri daripada National Convention. Sebenarnya, dalam tempoh antara 1946 hingga 1948, Ayah Ud turut terlibat dalam PKMM. PKMM Cawangan Kelantan dipimpin oleh As’ad Shukri, manakala sayap pemudanya, Angkatan Pemuda Insaf (API) pula dipimpin oleh Mohd Asri sendiri. Isteri Mohd Asri, Ustazah Sakinah Junid pula adalah seorang tokoh sayap wanitanya, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang terkenal.

Penyertaan Mohd Asri dalam PAS pada 1953 telah mendorong ahli keluarganya turut menyertai PAS di Kota Bharu. Walaupun Mohd Asri berada di Seberang Perai, tetapi ahli keluarganya seperti Ayah Ud dan Ishak Lotfi telah mempelopori penubuhan PAS Cawangan Kota Bharu bersama-sama Ustaz Man Beta (Abdul Rahman Awang Sulong) yang akhirnya berjaya menubuhkan cawangan PAS keempat di Kelantan pada 18 November 1954. Ketika PAS Cawangan Kota Bharu ditubuhkan, Ayah Ud ketika itu sudah menjadi Ahli Jawatankuasa Agung PAS. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Agung PAS yang pertama dari Kelantan yang dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga pada 12-14 Ogos 1954. Sebelum itu, iparnya, Mohd Asri telah dipilih sebagai Setiausaha Kewangan PAS pada 25-26 Ogos 1953, tetapi Mohd Asri tidak bergiat di Kelantan ketika itu. Walau bagaimanapun, Ayah Ud menjadi Ahli Jawatankuasa Agung PAS sehingga Disember 1955 sahaja, kerana selepas itu beliau hanya bergiat di Kelantan atas faktor usia.

Di Kota Bharu, Ayah Ud dianggap orang tua dan rujukan kepada tokoh-tokoh politik muda Kelantan. Sebagai Yang Dipertua PAS Kota Bharu, pejabat Ayah Ud sebagai penulis petisyen telah turut berperanan sebagai Pejabat PAS Kota Bharu. Beliau memainkan peranan besar untuk menggerakkan tokoh-tokoh muda PAS seperti Ustaz Ishak Lotfi, Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim, Haji Mohd Amin Yaakob, Ustaz Nik Abdullah Arshad, Pak Nik Lah Jembal, Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji dan lain-lain. Apabila Dato’ Mohd Asri balik ke Kelantan pada 1956 sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur, Ayah Ud berganding dengan iparnya itu dalam mengembangkan pengaruh PAS hingga ke Bachok, Tanah Merah, Tumpat dan Kuala Krai. Pergerakan politik Ayah Ud mulai kendur selepas Pilihan Raya Umum 1959, di mana anak tirinya, Ustaz Ishak Lotfi dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, manakala iparnya, Dato’ Mohd Asri Haji Muda menjadi Speaker DUN Kelantan. Dalam keadaan uzur itu, Ayah Ud tidak lagi aktif berpolitik. Ayah Ud meninggal dunia di Hospital Kota Bharu pada 10 Mei 1966 dalam usia 72 tahun.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 19/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -