
Oleh NOOR SARA MASHITH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) merampas 800 kilogram ikan serta dua bidang pukat tunda dan dua papan tunda pada operasi 1.15 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot nelayan berkenaan menunda pukat dalam keadaan gelap demi mengaut keuntungan berganda.
Katanya mereka ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan lebih kurang 1.5 batu nautika dari Pulau Timun, Langkawi.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot nelayan yang berpangkalan di Kuala Kedah itu melanggar syarat lesen dan hanya dibenar menangkap ikan pada jarak 15 batu nautika ke atas sahaja,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hashim, bot tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen.
Katanya, pada pemeriksaan lanjut dilakukan menemui tekong dan empat awak-awak iaitu empat warga tempatan berumur lingkungan 26 hingga 33 tahun, manakala seorang lagi warga Thailand berumur 38 tahun.
“Kesemua awak-awak termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan ikan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ujarnya juga anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, pukat tunda, papan tunda dan ikan campur sekitar RM501,000. – HARAKAHDAILY 17/8/2022











