
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin menarik perhatian terhadap isu surat yang dikeluarkannya bertarikh 21 Julai lalu berkaitan arahan penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) wanita.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pada Januari lalu JAKIM telah mengeluarkan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu Tahun 2022 untuk digunapakai oleh semua Agensi Pelaksana KAFA.
Menurutnya, antara perkara baharu yang dimasukkan dalam peraturan tersebut ialah Kemudahan Cuti Bersalin Berelaun Penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita sekali dalam tempoh kontrak yang berkuatkuasa yang sebelum ini tidak pernah diberikan.
“Keputusan ini dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif JAKIM dalam menjaga kebajikan golongan Guru KAFA wanita yang bersalin,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.
Walau bagaimanapun, katanya Kementerian Kewangan pada 6 Julai lalu telah mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan tersebut adalah tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA.
Jelasnya, sebagai mematuhi saranan dan pandangan tersebut, pihak JAKIM telah mengeluarkan surat penangguhan pemberian kemudahan tersebut pada 21 Julai lalu.
Beliau berkata, JAKIM dalam usaha membuat rayuan kepada pihak Kementerian Kewangan dan sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak kementerian berkenaan.
Dalam pada itu, ujarnya pada 20 Julai lalu, JAKIM bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah antara lain bagi membincangkan isu kebajikan bagi guru dan penyelia KAFA.
“Ingin ditegaskan bahawa pihak JAKIM bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi membela dan menjaga kebajikan semua pihak yang berada di bawah kawal selia JAKIM termasuk guru KAFA.
“JAKIM amat mengharapkan sokongan dan doa dari semua pihak agar usaha berterusan yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui JAKIM selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2022











