Tiba masa tumpu bina jati diri, kualiti lelaki qawwam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperkenalkan pendekatan lelaki qawwam sebagai usaha memperkasa peranan golongan lelaki selaku pemimpin, pelindung serta pembela keluarga dan masyarakat.

“Kita merasakan sudah tiba masanya kita memberikan tumpuan khusus kepada program-program pembinaan jati diri dan kualiti lelaki qawwam,” kata Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan ‘Lelaki Dambaan Syurga’ di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diberi tanggungjawab sebagai sekretariat yang akan menggerakkan inisiatif-inisiatif tersebut bermula di agensi-agensi hal ehwal Islam dan seterusnya kepada masyarakat.

- Advertisement -

Katanya, seminar itu juga adalah rentetan daripada beberapa siri Persidangan Meja Bulat yang telah diadakan sebelum ini.

“Justeru, pertemuan ini sangat bermakna, kerana kita semua dapat bersama-sama untuk mendengar dan bertukar buah fikiran untuk sama- sama memperkasakan tanggungjawab kaum lelaki bagi membahagiakan wanita dan keluarga,” katanya.

Sesungguhnya, ujar beliau apabila tanggungjawab lelaki khususya golongan suami diperkasakan, maka kaum isteri akan menikmati natijah kebahagiaan yang akan terbentuklah keluarga harmoni yang seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan negara yang sejahtera.

Mutakhir ini, katanya seperti dilaporkan oleh media, kejadian bunuh dalam kalangan ahli keluarga sendiri amat mendukacita dan membimbangkan.

Dalam pada masa yang sama, ujarnya kerapuhan institusi kekeluargaan menjadi salah satu penyumbang kepada masalah sosial pada hari ini.

Tambahnya, pendidikan anak-anak akan menjadi terabai apabila ibu bapa mereka sering bergaduh dan berantakan.

“Adalah lebih parah, apabila si ayah mendera dan memukul fizikal isteri dan anak-anak. Ini adalah realiti yang selalu kita baca dalam laporan akhbar,” katanya.

Oleh yang demikian, ujar beliau agensi-agensi Islam khususnya di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu segera menyusun program-program yang membumi dan berimpak tinggi.

Beliau menambah, pelbagai pihak seperti kaunselor, ahli akademik, pemimpin NGO, pihak anggota keselamatan perlu bergabung untuk menjayakan pengisian tersebut.

Katanya, kepelbagaian latar belakang ahli-ahli dan pembicara akan memberikan maklumat dan ilmu yang komprehensif kepada kita semua.

Tambahnya, program pada hari ini adalah antara model program dan pengisian yang boleh dilaksanakan di institusi masjid surau termasuk di negeri-negeri.

“Sebagaimana kita sedia maklum, lelaki adalah insan yang diciptakan Allah untuk memikul tanggungjawab utama dalam meneraju institusi kekeluargaan,” tambahnya.

Beliau berkata, peranan lelaki amat penting bagi memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia.

Jelas beliau, Imam Ibnu Kathir juga berpandangan, kaum lelaki dianggap sebagai pemimpin, hakim dan pendidik kepada golongan wanita.

Malah, ujarnya pada masa yang sama, golongan lelaki diangggap lebih utama kerana tugas kenabian itu dikhususkan kepada lelaki.

“Jelaslah kepada kita bahawa tanggungjawab yang digalas kaum lelaki amat berat dan besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Namun, ujar beliau senario hari ini seperti menampakkan sebaliknya.

“Hampir saban hari kita disajikan dengan kes golongan lelaki yang mengambil kesempatan ke atas kenaifan golongan Wanita,” katanya.

Menurutnya, ayah dan datuk yang sepatutnya melindungi golongan wanita di bawah tanggungjawab mereka telah bertindak ibarat haruan makan anak.

Begitulah juga, tambahnya si ayah yang sepatutnya berperanan sebagai ketua keluarga, tetapi tidak berfungsi dengan baik, bahkan tidak mampu menjadi figura dominan yang boleh dicontohi dan dihormati oleh anak-anak.

Katanya, di kala persepsi umum menampakkan pelajar perempuan lebih ramai berada di menara gading, penghuni pusat serenti dan penjara pula dipenuhi oleh majoriti golongan lelaki.

Tambaha beliau, tidak kurang juga golongan remaja dan belia lelaki yang dilihat segelintirnya seolah-olah sudah terhakis sifat kelelakiannya, bahkan cenderung ingin berpenampilan seperti wanita.

“Persoalannya, apakah benar dakwaan golongan lelaki hari ini sudah hilang sifat qawwamnya? Atau golongan lelaki hari ini sudah tidak berkualiti lagi?

“Namun saya amat yakin, impian untuk meramaikan lelaki qawwam yang didambakan sebagaimana panduan daripada al-Quran dan al-Hadith masih dapat kita sama-sama realisasikan.

“Dalam masa yang sama, kita juga tidak mahu terperangkap dengan gerakan feminisme Barat yang mahu menyamaratakan kedudukan lelaki dan perempuan atas dasar keadilan sosial, sehingga golongan lelaki dianggap bersifat patriaki atau terlalu mengongkong dalam semua aspek kehidupan,” katanya lagi.

Idris berkata, sudah pasti prinsip Islam itu, meletakkan kedudukan golongan lelaki dan wanita sesuai pada posisi dan peranannya yang tersendiri dan saling melengkapi di antara satu sama lain seperti firman Allah SWT pada ayat 71, Surah al-Taubah yang bermaksud: Dan orang-orang beriman dari kalangan lelaki dan perempuan adalah saling membantu antara satu sama lain. Mereka mengajak kepada perkara yang makruf (kebaikan) dan mencegah perkara yang mungkar.

Oleh sebab itu, kata beliau inisiatif lelaki qawwam ini diwujudkan bagi mengukuhkan pemerkasaan tanggungjawab dan peranan golongan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela kepada golongan wanita, ahli keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

“Lantaran demikian, adalah amat penting untuk kita sama-sama berganding bahu secara kolektif dalam menjayakan inisiatif lelaki qawwam melalui pelbagai bentuk program yang akan dilaksanakan, khususnya kepada kaum lelaki bagi memberi kesedaran serta melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran ke arah memperkasakan peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -