H20K: Semboyan perjuangan buat anak muda Pahang

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) menyambut baik penganjuran Himpunan Hijau 3.0 (H20K) dengan tema PAS Teraju Pahang yang akan dijalankan pada 31 Julai 2022 (Ahad) di Pantai Sepat, Kuantan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kerenah birokrasi dan politik.

DPPNP menyeru kepada semua anak muda tanpa mengira fahaman politik, latar belakang, bangsa dan agama untuk turut sama bersama dalam himpunan mega yang julung kali diadakan sebagai tanda solidariti kebersamaan dan sokongan kita kepada perjuangan penyatuan dan perpaduan ummah di Negeri Pahang ini.

Kami juga sangat mengalu-alukan kehadiran dan kebersamaan anak muda dalam pelbagai aktiviti dan acara yang telah disusun dalam Karnival Hijau di tapak himpunan sejak dari pagi hingga ke malam khusus bagi memeriahkan lagi himpunan ini seperti Kejohanan Bola Sepak Pantai, Autoshow, Green Run, Gotong Royong, Pertunjungan Seni Pertahanan Diri, gerai jualan dan pameran serta pelbagai lagi aktiviti menarik khusus untuk anak muda.

Kami juga ingin mengingatkan semua pihak bahawa himpunan ini adalah satu himpunan aman yang bertujuan untuk menyatukan umat di negeri ini dan tidak langsung bertujuan untuk menggugat kestabilan mahupun ketenteraman mana-mana pihak. 

Himpunan ini juga adalah atas semangat demokrasi yang membenarkan hak untuk berhimpun dan bergerak untuk semua. Seiringan dengan itu juga DPPNP mengingatkan semua peserta himpunan untuk saling menjaga tatasusila, akhlak dan juga SOP sepanjang himpunan ini berlangsung. 

Kami juga memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mencetuskan provokasi sepanjang himpunan ini. Marilah kita doakan semoga himpunan ini berjalan dengan aman dan harmoni dan memberi kebaikan kepada pembinaan politik matang dan sejahtera sekali gus memberikan manfaat buat agama, bangsa dan Negeri Pahang yang kita sayangi ini.

AIRIEROSHAIRI ROSLAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) – HARAKAHDAILY 21/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -