Perniagaan boleh mohon rehabilitasi korporat

- Advertisement -

SELARI fasa peralihan ke endemik, setiap lapisan rakyat di Malaysia giat menyusun kembali struktur kehidupan yang mungkin sedikit sebanyak terkesan dengan tempias pandemik COVID-19. Kesan ini antara lain menyentuh aspek sosial, pendidikan dan ekonomi.

Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pagi ini, saya senaraikan rangkaian usaha yang sudah dan sedang dilaksanakan bagi membantu semua pihak. 

Sektor perdagangan dan pengedaran yang memacu pertumbuhan ekonomi negara contohnya kini sedang dirancakkan semula, menerusi rangkaian strategik direncana kerajaan, demi manfaat komuniti perniagaan dan rakyat. 

Bagaimanapun, dalam kerancakan merintis usaha pemulihan, jangan kita lupa bahawa ada segelintir pihak yang bertungkus-lumus bergelut untuk kembali bangkit daripada kesan pandemik, termasuk komuniti perniagaan. Selain menyumbang kepada pertumbuhan negara, perniagaan memayungi sosioekonomi keluarga tertentu.

Menerusi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan daripada operasi perniagaan, kitaran ekonomi domestik berupaya terus subur, sekali gus mempercepatkan kadar pemulihan Malaysia pasca pandemik COVID-19. Justeru, SSM mengemukakan cadangan pindaan Akta Syarikat 2016 (Akta 777). 

Pindaan ini bertujuan menambah baik peruntukan berkaitan mekanisme penyelamat korporat dan Skim Kompromi atau Perkiraan, bagi membolehkan syarikat yang berdepan masalah kewangan untuk memohon proses rehabilitasi korporat bersesuaian agar mereka boleh terus beroperasi.

Berteraskan indeks petunjuk utama (KPI) aspirasi Keluarga Malaysia pula, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menyasarkan penyelesaian 100 peratus pendengaran pertama terhadap 2,500 kes tertunggak bagi 2021 yang belum dibuat pendengaran pertama berikutan kesan langsung pandemik COVID-19. 

Setakat 22 Mei lalu, keseluruhan 2,500 kes berkenaan sudah melalui sesi pendengaran pertama oleh TTPM seluruh negara, di mana sebanyak 1,917 kes daripadanya berupaya diselesaikan. Syabas saya ucapkan kepada TTPM kerana menepati KPI yang digariskan. 

Melangkah ke depan, rangkaian usaha kementerian akan diperhebat, dengan siri penambahbaikan bagi menjamin aspek keberkesanan setiap dasar, program dan insiatif yang direncana.

DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -