Bina lokasi rekreasi awam berhampiran lapangan terbang

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengemukakan cadangan bagi pembinaan pusat rekreasi awam di Jalan Pengkalan Chepa.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri prihatin terhadap situasi kekurangan tempat peranginan dan rekreasi awam khususnya di Kota Bharu.

“Sekurang-kurangnya pihak MAHB dapat menyediakan lokasi untuk kita jadikan tempat rekreasi, dana kita boleh minta kalau ada tapak yang sesuai.

“Kita sudah adakan perbincangan dengan pihak airport, mereka mencadangkan lokasi yang ditanam pokok kelapa sebagai tempat rekreasi sebagai proposal awal dibentangkan kepada kerajaan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Md Alwi Che Ahmad persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Md Alwi (Umno-Kok Lanas) sebelum itu berkata, pusat rekreasi awam yang terdapat di bandar-bandar besar sudah menjadi sebahagian keperluan rakyat.

Oleh kerana kekurangan itu katanya segelintir penduduk di Kelantan menjadikan jalan di tepi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lokasi rekreasi untuk melihat kapal terbang mendarat.

Dr Izani (PAS-Kijang) juga berkata kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk membangunkan kawasan rekreasi awam, namun berdepan masalah tanah serta bangunan yang banyak sehingga tiada kawasan lapang.

“Jadi kita dalam perancangan ini kita laksanakan di padang awam Tanah Merah dan di Gua Musang padang yang luas juga boleh dijadikan tempat rekreasi.

“Tetapi cadangan yang diutarakan oleh Kok Lanas itu sangat baik dan kita setuju kerana rakyat sedang mencari tempat rekreasi,” katanya.

Dalam pada itu kerajaan negeri mengakui banyak pusat rekreasi yang terdapat di Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli mendapat sambutan masyarakat tempatan. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -