
PETANG semalam saya meraikan para penerima anugerah Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2021 yang terdiri daripada murid, guru serta kepimpinan sekolah dalam majlis DUTA 2021 di Kuala Lumpur. Syabas dan tahniah kepada semua pemenang.
Pendidikan digital merupakan antara tumpuan utama KPM dalam memacu perubahan landskap pendidikan negara ke arah melahirkan murid yang fasih digital, kreatif, inovatif dan berdaya saing.
Dalam konteks ini, inovasi dalam pedagogi dengan penggunaan teknologi digital perlu terus dipertingkat dan diperluas dalam mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan melalui penggunaan teknologi digital secara optimum dan berpusatkan murid tentunya akan dapat menarik minat murid untuk terus fokus belajar.
Secara keseluruhan, penggunaan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan negara telah berjaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan KPM, termasuk pengajaran dan pembelajaran.
Antaranya, melaksanakan pemarkahan SPM secara dalam talian, memperkasakan pelantar DELIMa serta pemantauan pengoperasian sekolah semasa pandemik.
KPM akan terus memperkasakan pendidikan digital demi kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.
Tahniah di atas penganjuran majlis DUTA 2021 dan syabas kepada semua pemenang anugerah DUTA 2021.
Semoga pengiktirafan dan penganugerahan sebegini dapat menjadi pemangkin ke arah pembudayaan inovasi pendidikan digital dalam kalangan murid dan guru.
Ini juga dapat menjadi pembakar semangat untuk kita semua terus berusaha dan melakukan yang terbaik.
DATO’ DR MOHD RADZI MD JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 8/7/2022















