Kerajaan masih stabil hasil dukungan semua pihak

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap masih lagi stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang.

Justeru itu, Ketua Penerangan PAS Perlis Muhammad Azmir Azizan berkata, buat masa sekarang tiada keperluan mendesak untuk diadakan pilihan raya segera.

Katanya desakan demi desakan yang disuara pihak tertentu supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disegerakan dilihat kerana ada kepentingan pihak tertentu.

- Advertisement -

“Sepatutnya pemimpin politik perlu berganding bahu bersama kerajaan untuk menyelesaikan krisis ekonomi yang melanda negara sekarang.

“Tambahan pula negara belum pulih sepenuhnya selepas melalui pandemik Covid-19 dalam tempoh begitu panjang,” katanya di sini.

Baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata, kerajaan pimpinan Ismail Sabri masih stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang.

Oleh itu kata beliau tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Menurutnya juga ada pihak tidak memahami kerajaan sekarang sebuah kerajaan yang didukung bersama pembangkang.

Sebelum ini Umno antara parti yang kerap mendesak perdana menteri membubarkan segera parlimen.

Muhammad Azmir juga berkata, PRU segera tidak sepatutnya menjadi keutamaan sekarang ketika kerajaan sedang berusaha memulih negara.

Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kangar Ahmad Ashraf Mohd Khairudin berkata, pemimpin perlu lebih fokus membangunkan negara dan bukan asyik mendesak kerajaan supaya diadakan PRU.

“Kebanyakan negara mengalami kejatuhan nilai mata wang menyebabkan harga barang semakin meningkat.

“Lagi pun rakyat baru sahaja mula membangunkan semula ekonomi selepas berdepan dengan kesukaran akibat wabak sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2022

- Advertisement -