Orang Asli yakin projek hidroelektrik beri manfaat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

GUA MUSANG:
Biarpun ada NGO membantah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri, sebaliknya penduduk tempatan yakin projek itu dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Seorang penduduk Mazlan Mohamad, 31, dari Pos Pulat mengakui projek tersebut memberi impak sangat besar kepada penduduk Orang Asli.

Beliau berkata, sebahagian besar penduduk di perkampungan terbabit terpaksa dipindahkan ke penempatan baharu bagi laluan projek yang bernilai RM5 bilion itu.

- Advertisement -

“Bagi pandangan saya projek adalah amat baik, satu peluang untuk kami penduduk Pos Pulat merubah taraf hidup kepada lebih baik.

Mazlan Mohamad

“Kami boleh keluar dari pembangunan tidak tersusun dan juga ekonomi yang tidak menentu, dengan projek ini kami mendapat banyak manfaat,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahad lepas diadakan perasmian majlis pecah tanah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nengiri disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Projek tersebut diterajui Tenaga Nasional Berhad melibatkan tiga kampung iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias.

Kira-kira 1,000 penduduk terpaksa dipindah ke penempatan baharu. Di penempatan baru mereka mendapat sebuah rumah tiga bilik, kebun seluas lima ekar dan kemudahan asas lain.

Selain itu mereka juga mendapat bantuan RM850 sebuah sebagai pampasan yang dibayar selama lima tahun sehingga empangan itu siap.

Jumat Abak, 49 turut menyifatkan projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri memberi manfaat kepada rakyat di Kelantan.

“Bukan sahaja penduduk tempatan yang menerima manfaat, sebaliknya seluruh rakyat turut mendapat faedah besar projek tersebut,” ujarnya.

Pada 7 Jun lepsa sekumpulan Orang Asli menyerahkan memorandum bantahan projek Hidroelektrik Nenggiri kepada wakil pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Perhimpunan tersebut dilapor diketuai Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along. – HARAKAHDAILY 14/6/2022

- Advertisement -