Peniaga kecil belum meluas guna transaksi tanpa tunai

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Transaksi tanpa tunai dilaksanakan secara meluas di Malaysia sekarang, namun penggunaannya dalam kalangan peniaga kecil masih lagi rendah.


Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, Pekan Rabu akan menggunakan transaksi tanpa tunai dalam masa terdekat.

Katanya, sistem itu bakal mengubah corak perniagaan melalui program ‘Pekan Rabu Go Cashless’ di mana sistem jual beli akan maju ke hadapan mengikut arus teknologi digital.

“Saya menyeru semua peniaga mengambil manfaat program ‘Pekan Rabu Go Cashless’ untuk mengubah cara kita menjalankan perniagaan yang boleh meningkatkan produktiviti dan pendapatan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan semalam.

- Advertisement -

Kata beliau ‘Pekan Rabu Go Cashless’ merupakan program Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menggalakkan penggunaan transaksi berkenaan.

Selain itu melalui aplikasi tanpa tunai peniaga mampu meningkatkan produktiviti selain menambah baik kecekapan dan keberkesanan proses pembayaran.

“Masih ramai menjalankan perniagaan seperti biasa, akibatnya operasi perniagaan berada di takuk yang lama dan tidak berkembang selari dengan keperluan semasa.

“Perniagaan secara digital selari dengan matlamat kemakmuran ekonomi Kedah melalui teras pertama Pelan Pembangunan Kedah 2035,” tambah beliau.

Selain itu katanya memastikan keselamatan peniaga dan pengurusan perniagaan dapat dipantau serta diurus dengan lebih baik.

‘Pekan Rabu Go Cashless’ merupakan program kerjasama kerajaan negeri, persatuan peniaga, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia, MyDigital Corporation, PayNet, dan peniaga Pekan Rabu.

Sebelum ini program serupa dilaksanakan di Kulim dan dijangka diperluas ke Padang Besar, Perlis serta lokasi-lokasi lain di Malaysia. – HARAKAHDAILY 10/6/2022

- Advertisement -