
Oleh ASLANI M
KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan mahu kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati membocorkan maklumat berkaitan kerajaan atau syarikat milik kerajaan.
Ketuanya Mohamad Kamal Mohamed berkata, tidak sepatutnya berlaku tempat individu terbabit mencari rezeki bagi keperluan keluarga dirosakkan dengan pengkhianatan membocorkan maklumat.
Katanya, tindakan tersebut merupakan perbuatan yang berdosa dan dilaknat Allah SWT.
“Akta Rahsia Rasmi 1972 melindungi mana-mana agensi perkhidmatan awan termasuk syarikat milik kerajaan daripada menyampai, menerima, mendapatkan, menyimpan, mengumpul, merakam atau menyiarkan sebarang maklumat dalaman kepada pihak luar.
“Sebarang perlanggaran akta itu boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk dilakukan siasatan dalaman sebelum dikenakan tindakan tatatertib,” katanya di sini hari ini.
Semalam Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah melalui kenyataan tidak menolak kemungkinan terdapat maklumat kerajaan negeri dibocorkan kepada pihak tertentu, dan diberi tafsiran secara tidak tepat.
Sedangkan maklumat sulit tersebut dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi dan siasatan boleh dijalankan atas kebocoran tersebut.
Oleh itu Mohamad Kamal berkata, Pemuda PAS Kelantan menyokong penuh peringatan tegas Timbalan Menteri Besar Kelantan terhadap individu yang terlibat membocorkan maklumat kepada pihak luar.
“Dalam banyak isu yang galak muncul kebelakangan ini hanya kerana dendam politik, dengan niat menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini sebuah NGO yang diketuai pemimpin pembangkang banyak mendedahkan maklumat berkaitan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sehingga mengelirukan rakyat. – HARAKAHDAILY 2/6/2022











